Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puteri Wales selesai jalani rawatan kemoterapi

    LONDON, 10 SEPT – Catherine, Puteri Wales mengumumkan kelmarin bahawa beliau bebas daripada kanser tetapi masih mempunyai perjalanan panjang menuju ‘pemulihan penuh’, dalam mesej video penuh emosi selepas diagnosis kanser yang mengejutkan awal tahun ini.

    Pengumuman yang penuh perasaan itu akan memberikan kelegaan kepada keluarga diraja Britain selepas tahun yang bermasalah di mana Raja Charles III juga mendedahkan bahawa beliau sedang bertarung dengan kanser.

    “Saya tidak dapat memberitahu betapa lega saya akhirnya setelah selesai menjalani rawatan kemoterapi saya,” kata Catherine, dalam mesej di platform X dan Instagram.

    Puteri berusia 42 tahun itu berkata sembilan bulan yang lalu adalah ‘amat sukar’ bagi keluarganya – suaminya Putera William dan anak-anak mereka, Puteri George, 11, Puteri Charlotte, sembilan dan Putera Louis, enam.

    “Hidup, seperti yang awda tahu, boleh berubah dalam sekelip mata dan kami terpaksa mencari cara untuk mengharungi cabaran dan perjalanan yang tidak diketahui,” katanya.

    Catherine dan Putera William bersama anak-anak mereka, Putera George (kanan), Puteri Charlotte dan Putera Louis. – AP

    Catherine, seorang bakal ratu yang dilihat sebagai figura utama untuk mengekalkan kedudukan keluarga diraja dalam Britain, menambah bahawa ‘melakukan apa yang saya mampu untuk kekal bebas kanser kini menjadi fokus utama saya.’

    “Walaupun saya telah selesai menjalani kemoterapi, perjalanan saya untuk sembuh dan pemulihan penuh adalah panjang dan saya mesti terus menghadapi dan menjalani kehidupan dengan tabah setiap hari,” katanya.

    “Namun, saya tidak sabar-sabar untuk kembali bekerja dan menjalankan beberapa tugas awam dalam beberapa bulan akan datang.”

    Catherine mengumumkan pada Mac beliau sedang menjalani rawatan ‘kemoterapi pencegahan’ untuk kanser yang tidak dinyatakan.

    Pengumuman itu dibuat hanya beberapa minggu selepas bapa mertuanya juga didiagnosis dengan kanser selepas menjalani rawatan untuk prostat yang tidak berbahaya.

    Charles, 75, telah diberi lampu hijau untuk meneruskan tugas awam pada bulan April lalu selepas doktor berkata mereka amat yakin dan puas hati dengan perkembangannya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda