Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putin arah penarikan berperingkat perintah berkurung

    MOSCOW, 29 APRIL – Presiden Vladimir Putin semalam memberi amaran, Rusia masih belum mencapai tahap puncak penularan pandemik COVID-19, namun ‘penarikan berperingkat’ perintah berkurung yang dilaksanakan boleh bermula dalam tempoh dua minggu lagi.

    Dengan jumlah kes meningkat mencapai angka ribuan sehari, Putin melanjutkan tempoh tidak bekerja di seluruh negara itu sehingga 11 Mei ini, dan mengarahkan pegawainya untuk merancang pelepasan secara berperingkat selepas itu.

    “Kita sudah berjaya memperlahankan penularan pandemik. Jumlah kes harian juga semakin stabil.

    “Tetapi kita tidak boleh cepat berpuas hati. Situasi masih sukar. Pakar dan saintis yang sering berhubung rapat bersama kita untuk perkembangan terkini memberitahu, waktu puncak pandemik masih belum berlaku,” katanya menerusi sidang video bersama pegawai serantau.

    Beliau mengarahkan kerajaan untuk tampil dengan perancangan ‘penarikan berperingkat’ tindakan kuarantin, bergantung kepada situasi pandemik negara terbabit.

    Presiden Vladimir Putin ketika mempengerusikan mesyuarat sidang video bersama ketua-ketua rantau Rusia berhubung situasi COVID-19. – AFP

    Beliau turut mengarahkan pegawai membangunkan pakej pendekatan kecemasan bagi membantu ekonomi.

    Menurut Putin, kekurangan bekalan masih berlaku walaupun ketika industri negara itu dipacu untuk menghasilkan lebih banyak peralatan perubatan dan kelengkapan perlindungan.

    Rusia bulan ini mengeluarkan lebih 800 alat bantuan pernafasan (ventilator) dan 8.5 juta topeng muka, dan menjelang akhir bulan ini, akan menghasilkan 100,000 sut perlindungan diri untuk pasukan perubatan sehari.

    “Berbanding dengan apa yang kita perlukan, jumlah itu masih terlalu kecil,” katanya sambil mengarahkan kerajaan meningkatkan jumlah penghasilan harian.

    Saringan kesihatan turut ditambah kepada sekitar 150,000 ujian sehari, katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda