Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putin boleh didakwa atas jenayah perang

    LONDON, 1 MAC – Kerajaan United Kingdom (UK) memberi amaran hari ini bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin dan komandernya di Ukraine boleh menghadapi pendakwaan kerana jenayah perang kerana pembedilan sembarangan ke atas sebuah bandar dicerobohinya.

    Serangan ke atas Kharkiv telah memusnahkan sebuah sekolah dan menurut datuk bandarnya, telah membunuh sekurang-kurangnya 11 orang awam.

    Muka depan akhbar Britain memuatkan gambar dua gadis yang terbunuh akibat serangan Rusia di Ukraine dan kata-kata seorang doktor ketika dia cuba menyelamatkan salah seorang daripada mereka: “Tunjukkan ini kepada Putin.”

    Setiausaha Kehakiman Dominic Raab, bekas pendakwa jenayah perang, berkata Britain dan sekutunya akan menunggu selama mana yang diperlukan untuk membawa mana-mana penjenayah perang ke muka pengadilan, merujuk kepada perang 1990an di bekas negara Yugoslavia.

    “Itulah sebabnya kami menjelaskan kepada Putin tetapi juga kepada komander di Moscow, di lapangan di Ukraine, bahawa mereka akan bertanggungjawab atas sebarang pelanggaran undang-undang perang,” katanya kepada Sky News.

    Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague hari ini berkata ia sedang menyiasat selepas menemui “asas munasabah” untuk mengesyaki dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Ukraine sejak Rusia merampas semenanjung Crimea pada 2014.

    Sementara itu, bagi Putin, jeneral dan tentera Rusia, “terdapat risiko yang sangat nyata bahawa mereka akan berakhir di mahkamah di The Hague”, tambah Raab di televisyen BBC. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda