Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putin hantar kapal perang ke Atlantik

    MOSCOW, 4 JAN – Presiden Rusia, Vladimir Putin kelmarin mempengerusikan pelancaran kapal perang yang dilengkapi peluru berpandu hipersonik untuk misi latihan di Lautan Atlantik, India dan Mediterranean.

    “Saya pasti senjata yang berkuasa tinggi ini akan membolehkan kita melindungi Rusia daripada ancaman luar dan akan membantu memenuhi kepentingan negara,” Putin dipetik oleh agensi berita Rusia sebagai berkata.

    “Kami akan terus membina potensi berperang angkatan bersenjata,” kata Putin, sambil menambah bahawa sistem peluru berpandu Zircon di atas kapal tersebut sebagai ‘tiada tandingan’.

    Putin dan Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu mengambil bahagian dalam upacara permulaan misi tersebut melalui persidangan video.

    “Fokus utama misi adalah untuk menentang ancaman kepada Rusia serta menegakkan keamanan serantau dan kestabilan bersama negara-negara sahabat,” kata Shoigu.

    “Dalam latihan ketenteraan, akan ada latihan untuk kru mengendalikan senjata hipersonik dan peluru berpandu jarak jauh,” katanya.

    Shoigu berkata peluru berpandu Zircon mampu mengatasi sebarang pertahanan udara moden atau masa depan serta mampu menghasilkan serangan yang berkuasa dan berketepatan tinggi ke atas pihak musuh di laut dan di darat. – AFP

    Putin menghadiri persidangan video bersama Sergei Shoigu dan komander kapal perang, Igor Krokhmal (kanan), di Moscow, Rusia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda