MOSCOW, 25 NOV – Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini memecat ketua perkhidmatan penjara negara itu, kata Kremlin dalam satu kenyataan, selepas beberapa video penyeksaan yang mengerikan dan pemerkosaan dalam penjara itu terdedah.
Putin memecat Alexander Kalashnikov serta-merta yang menjadi sasaran sekatan pihak Barat kerana memenjarakan pengkritik Kremlin, Alexei Navalny. Dia cuma berkhidmat sebagai ketua penjara untuk tempoh dua tahun.
Pemimpin Russia itu kemudiannya melantik Arkady Gostev, seorang kolonel polis dari Kementerian Dalam Negeri untuk menggantikan tempat Kalashnikov. Pemecatan itu dibuat selepas kumpulan hak asasi menyiarkan puluhan video penyeksaan dalam penjara yang terletak di pusat bandar Saratov bulan lalu.
Ia telah diseludup keluar dari fasiliti itu menerusi seorang bekas banduan, Sergei Savelyev yang melarikan diri dari Rusia dan memohon suaka dari Perancis.
Awal bulan ini, perkhidmatan penjara Russia berkata, pihaknya memecat seramai 18 pegawai di wilayah Saratov yang ada kaitan dengan video berkenaan dan bertindak membuka beberapa siasatan. Kremlin sebelum ini mengarahkan supaya kes itu disiasat.
Moscow meletakkan Savelyev, seorang rakyat Belarus dalam senarai dikehendaki pada bulan lalu tetapi mengeluarkan lelaki itu dari senarai tersebut.
Semasa tempoh penjaranya, Savelyev bekerja sebagai pegawai penyelenggaraan teknologi maklumat (IT).
Dia memperoleh akses sistem pelayan dalaman penjara termasuk penjara lain di mana dia menjumpai rakaman pengawasan yang memaparkan berlaku penderaan.
Savelyev kemudiannya menyimpannya dalam pemacu kilat USB dan menyembunyikan berhampiran pintu keluar penjara.– AFP