Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putin pertahan tindakan tentera

    MOSCOW, 29 Nov – Presiden Vladimir Putin menegaskan bahawa pasukan tentera Rusia melakukan tindakan yang betul ketika menawan tiga buah kapal Ukraine baru-baru ini tetapi Presiden Donald Trump meluahkan rasa kebimbangan terhadap tindakan Moscow ke atas sekutu Amerika Syarikat itu.

    Dalam ucapan pertamanya sejak berlaku konfrontasi di laut pada Ahad lalu, Putin berkata ia telah dirancang oleh Kiev sebagai satu tindakan ‘provokasi.’

    Menurutnya, kapal Ukraine telah memasuki kawasan perairan Rusia dan menolak untuk memberi respons terhadap kapal-kapal rondaan Rusia untuk berhenti.

    “Apa yang patut mereka (tentera Rusia) buat?” menurut Putin semalam, apabila ditanya mengenai insiden tersebut semasa forum pelaburan antarabangsa di Moscow.

    “Mereka melakukan tanggungjawab sebagai tentera. Mereka melakukan tindakan yang sah dalam melindungi sempadan Rusia. Mereka juga akan melakukan perkara yang sama di negara anda.”

    Presiden Vladimir Putin semasa berucap pada forum pelaburan di Moscow kelmarin. Putin menegaskan bahawa pasukan tentera Rusia melakukan tindakan yang betul ketika menawan tiga buah kapal Ukraine baru-baru ini. – AP

    Moscow dan Kiev saling tuduh menuduh sejak kapal tentera laut Rusia melepaskan tembakan, memberkas dan menawan tiga buah kapal Ukraine di laut Crimea.

    Selepas memberi amaran mengenai ancaman ‘perang berskala penuh,’ Presiden Ukraine, Petro Poroshenko semalam menandatangani akta perintah tentera untuk tempoh 30 hari di wilayah sempadan Rusia, Laut Hitam dan Laut Azov.

    Beliau juga merayu kepada anggota-anggota NATO termasuk Jerman untuk menghantar kapal-kapal tentera laut ke wilayah itu untuk membantu negaranya.

    “Jerman merupakan antara sekutu rapat kami dan kami harap anggota-anggota NATO bersedia untuk menempatkan kapal-kapal mereka di Laut Azov bagi memberi bantuan kepada Ukraine dan membantu dari segi keselamatan,” menurutnya hari ini yan disiarkan oleh Bild Daily.

    Pihak kerajaan barat sama-sama menyokong Kiev dan menuduh Rusia secara tidak sah menghalang akses ke Laut Azov yang digunakan oleh kedua-dua buah negara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda