Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putin puji kehebatan tentera laut Rusia

    SAINT PETERSBURG, 30 JULAI – Presiden Vladimir Putin hari ini memuji tentera laut Rusia dalam ucapan beliau semasa perarakan kapal perang tahunan di Saint Petersburg, yang dihadiri oleh beberapa pemimpin Afrika.

    Pameran ketenteraan ini berlangsung ketika pencerobohan Moscow di Ukraine memasuki tahun kedua dan tiga dron Ukraine telah ditembak jatuh di atas Moscow pada awal hari ini.

    Tentera Laut Rusia telah memainkan peranan penting dalam serangan Moscow ke atas Ukraine dengan melancarkan serangan ke atas negara yang disokong Barat itu dengan peluru berpandu dari kapal dan kapal selam, antara operasi lain.

    Tanpa menyebut Ukraine dalam ucapannya, Putin memuji ‘kru-kru kapal dan kapal selam yang berani’.

    “Demi Rusia, tentera laut kita memberikan sepenuh kekuatan mereka, menunjukkan kepahlawanan sejati dan berjuang dengan gagah berani, seperti nenek moyang kita yang hebat,” kata Putin.

    Kelasi Rusia mengambil bahagian dalam perarakan Hari Tentera Laut di Saint Petersburg kelmarin. – AFP

    “Hari ini, Rusia dengan yakin melaksanakan elemen utama dasar maritim negaranya dan secara konsisten membina kuasa tentera lautnya,” tambahnya.

    Empat puluh lima kapal, bot dan kapal selam mengambil bahagian dalam perarakan tersebut bersama kira-kira 3,000 anggota tentera, kata Kremlin.

    Bekas ibu kota empayar itu juga menjadi tuan rumah sidang kemuncak Rusia-Afrika awal minggu ini.

    Beberapa pemimpin dan wakil dari negara-negara Afrika termasuk Mali dan Burkina Faso menghadiri perarakan tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda