WASHINGTON, 26 MEI — Presiden Donald Trump jelaskan bahawa dia semakin hilang sabar terhadap Vladimir Putin ketika Moscow menyerang Kyiv dan bandar-bandar lain di Ukraine dengan dron dan peluru berpandu untuk malam ketiga berturut-turut.
“Saya sentiasa mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Vladimir Putin dari Rusia, tetapi sesuatu telah berlaku kepadanya. Dia sudah benar-benar gila!” Trump menulis dalam catatan media sosial malam kelmarin.
Trump berkata Putin, “telah membunuh ramai orang tanpa perlu,” menunjukkan bahawa, “peluru berpandu dan dron ditembak ke Bandar di Ukraine, tanpa sebarang sebab apa pun.”
Serangan itu merupakan serangan udara terbesar sejak pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas negara itu pada Februari 2022. Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera.
Trump turut memberi amaran bahawa jika Putin mahu menakluki seluruh Ukraine, ia akan, “membawa kepada kejatuhan Rusia!”
Namun Trump juga pernah menyatakan kekecewaan terhadap Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy apabila mengatakan bahawa Zelenskyy “tidak memihak kepada Negaranya sendiri apabila bercakap seperti itu.”
“Semua yang keluar dari mulutnya menyebabkan masalah, saya tidak suka, dan lebih baik dia berhenti,” tulis Trump di media sosial.
Selama ini, Trump telah lama berbangga dengan hubungan mesranya dengan Putin dan berulang kali menegaskan bahawa Rusia lebih bersedia daripada Ukraine untuk mencapai perjanjian damai.
Tetapi bulan lalu, Trump menggesa Putin untuk “Berhenti!” menyerang Ukraine selepas Rusia melancarkan satu lagi serangan maut ke atas Kyiv, dan dia telah berulang kali menyatakan kekecewaannya bahawa perang berkenaan masih berterusan.
“Saya tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan Putin. Dia membunuh ramai orang. Dan saya tidak tahu apa yang berlaku kepada Putin,” kata Trump kepada pemberita kelmarin ketika dia berlepas dari utara New Jersey. “Saya sudah lama mengenalinya, selalu bergaul dengannya, tetapi dia menghantar roket ke bandar dan membunuh orang dan saya tidak menyukainya sama sekali.” – AFP
