Thursday, September 19, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putin tawar bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara

    SEOUL, KOREA SELATAN, 4 OGOS – Presiden Rusia, Vladimir Putin menawarkan bantuan kemanusiaan untuk membantu Korea Utara menghadapi kerosakan akibat banjir baru-baru ini, kata kedua-dua negara, dalam satu lagi tanda meluaskan hubungan antara kedua-dua negara berkenaan.

    Dalam mesej kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un kelmarin, Putin “menghulurkan simpati yang mendalam dan sokongan” dan menyampaikan kesanggupannya untuk memberikan bantuan bencana segera bagi membantu Korea Utara pulih daripada banjir, lapor Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) hari ini.

    Agensi berita negara Rusia, Tass membawa laporan yang sama, mengatakan bahawa Putin memberitahu Kim dalam mesej itu: “Awda sentiasa boleh mengharapkan bantuan dan sokongan kami.”

    Hubungan antara Korea Utara dan Rusia telah bertambah baik dengan ketara di tengah-tengah kepercayaan luar yang meluas bahawa Korea Utara telah membekalkan senjata konvensional kepada Rusia untuk perangnya di Ukraine sebagai balasan untuk bantuan ketenteraan dan ekonomi.

    Semasa pertemuan di Pyongyang pada Jun, Kim dan Putin menandatangani pakatan yang menetapkan bantuan ketenteraan bersama jika mana-mana negara diserang, dalam apa yang dianggap perjanjian pertahanan terbesar kedua-dua negara sejak berakhirnya Perang Dingin.

    Kim melahirkan rasa terima kasih kepada Putin atas tawaran bantuan itu, dengan berkata dia “dapat merasakan emosi istimewa terhadap rakan tulen dalam tempoh yang paling sukar.”

    Tetapi Kim berkata, Korea Utara telah mewujudkan rancangan pemulihannya sendiri dan akan meminta bantuan Rusia kemudian jika ia diperlukan, menurut KCNA.

    Hujan lebat di wilayah barat laut Korea Utara pada 27 Julai membanjiri 4,100 rumah, 7,410 ekar ladang pertanian dan banyak lagi bangunan awam, jalan raya dan kereta api, lapor KCNA. – AP

    Dalam foto yang disediakan oleh kerajaan Korea Utara menunjukkan Kim Jong Un meninjau kawasan yang dilanda banjir di bandar Sinuiju, wilayah Phyongan Utara, Korea Utara pada 29 Julai lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda