MOSCOW, 28 JUN – Presiden Rusia Vladimir Putin telah menerima jemputan untuk menghadiri sidang kemuncak G20 di Indonesia pada November, menurut penasihat dasar luar negara itu, Yury Ushakov kelmarin.
Walau bagaimanapun, keputusan mengenai format kehadiran secara peribadi atau maya masih belum diputuskan, Ushakov dipetik sebagai berkata dalam taklimat media di Moscow.
“Ya, kami telah mengesahkan penyertaan (Putin). Mereka telah menjemput (presiden) ke mesyuarat secara bersemuka, tetapi masih banyak masa. Saya berharap pandemik kali ini membolehkan forum penting itu diadakan secara bersemuka,” katanya.
Beliau juga berkata bahawa Indonesia menghantar jemputan rasmi meskipun mendapat tekanan hebat daripada negara-negara Barat, lapor agensi Anadolu. – Bernama