SEOUL, 14 SEPT – Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menerima jemputan untuk melawat Korea Utara, lapor media kerajaan Pyongyang hari ini, ketika Kim Jong Un mengakhiri lawatan yang jarang berlaku ke negara sekutunya.
Kim yang jarang meninggalkan negaranya dan belum pernah melancong sejak sebelum pandemik, mengadakan ‘pertemuan dan perbincangan bersejarah’ dengan Putin kelmarin, kata agensi berita pusat Korea.
Antara hasil pertemuan pemimpin-pemimpin itu ialah janji Rusia untuk membantu dalam program angkasa lepas Korea Utara, menurut agensi berita Rusia, manakala Putin memberitahu pemberita bahawa beliau melihat ‘kemungkinan’ bagi kerjasama ketenteraan.
Sebagai sekutu bersejarah, Rusia dan Korea Utara berada di bawah sekatan global yang meluas – Moscow kerana konflik dengan Ukraine; Pyongyang disebabkan ujian nuklearnya – dengan lawatan Kim mencetuskan kebimbangan terhadap perjanjian senjata haram.
Ketua parti pemerintah Korea Selatan menyelar apa yang disebutnya sebagai ‘perjanjian syaitan’ antara Moscow dan Pyongyang, sementara Jepun memberi amaran hari ini ke atas sebarang pelanggaran larangan PBB terhadap perjanjian senjata dengan Korea Utara selepas perbincangan Putin-Kim.
“Kami sedang mengawasi (perbincangan tersebut) dengan kebimbangan termasuk kemungkinan ia boleh membawa kepada pelanggaran larangan Majlis Keselamatan terhadap semua urus niaga berkaitan senjata dengan Korea Utara,” kata Menteri Luar Jepun yang baharu, Yoko Kamikawa kepada pemberita. – AFP
