MOSCOW, 2 Julai – Presiden Vladimir Putin memberitahu pengendali Rusia, Stanislav Cherchesov tiada siapa yang akan menghentam mereka sekalipun jika tewas kepada Sepanyol pada aksi 16 terakhir Piala Dunia hari ini, perlawanan yang kemudiannya dimenangi skuad itu.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, selepas Rusia menyingkirkan juara 2010 itu menerusi penentuan penalti di Stadium Luzhniki, Putin yang menonton perlawanan itu di televisyen tidak meletakkan sebarang tekanan ke atas pasukan kebangsaannya.
“Sebelum perlawanan, sekitar tengah hari tadi, presiden ada menghubungi jurulatih dan mengucap selamat maju jaya kepadanya,” menurut agensi berita Rusia yang memetik Peskov sebagai berkata.
“Beliau berkata di bawah kendalian Cherchesov, pemain sudah mencapai sesuatu yang mustahil dengan melepasi aksi peringkat kumpulan,” kata Peskov.
“Putin turut menegaskan sebarang keputusan daripada perlawanan itu, tidak akan ada seorang pun di negara ini yang akan mengkritik mereka.”
Putin muncul antara individu penting dalam menjayakan kejohanan terulung dunia itu selepas turut membantu mendapatkan hak tuan rumah buat Rusia semasa pemilihan tahun 2010.
Rusia kemudiannya berbelanja sekitar AS$13 bilion ke atas 11 bandar raya yang menganjurkannya kali pertama sejak kejatuhan Soviet Union.
Namun keputusan Putin untuk tidak secara peribadinya menyaksikan perlawanan kalah mati pertama mengundang sangkaan bahawa Kremlin percaya bahawa pasukan itu akan tewas.
Rusia dan Sepanyol menamatkan perlawanan seri 1-1 sehingga sepakan penalti.
Penjaga gawang Rusia, Igor Akinfeev muncul wira selepas menepis sepakan penalti Sepanyol dan membawa Rusia dengan kemenangan 4-3 sepakan penalti.
Russia seterusnya akan berdepan dengan Croatia. – AFP