MOSCOW, 17 MEI – Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menjemput pemimpin negara-negara Arab dan Setiausaha Agung Liga Arab untuk menghadiri Sidang Kemuncak Rusia-Arab pertama yang dijadualkan berlangsung pada 15 Oktober, lapor agensi berita Qatar, QNA.
Menurut Kremlin, jemputan itu disampaikan melalui mesej daripada Putin kepada pemimpin Arab, bersempena dengan pembukaan Sidang Kemuncak Liga Arab ke-34 di Baghdad kelmarin.
Dalam mesejnya, Putin mengulangi komitmen Rusia untuk mengukuhkan dialog dengan Liga Arab dan meningkatkan hubungan persahabatan dengan semua negara anggota.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sidang kemuncak yang akan datang itu akan menyumbang kepada memajukan kerjasama dalam pelbagai bidang serta menyokong usaha mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan di Timur Tengah dan Afrika Utara. – Bernama/Qna
