Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Puting beliung badai bandar Iowa

    WASHINGTON, 22 MEI – Puting beliung yang dahsyat melanda sebuah bandar di negeri Iowa, Amerika Syarikat (AS) kelmarin yang mengakibatkan kematian dan kecederaan, kata polis.

    Puting beliung itu memusnahkan sebahagian besar Greenfield, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 2,000 orang penduduk dan terletak 45 batu barat daya ibu negeri Des Moines, kata Sarjan Peronda Negeri Iowa, Alex Dinkla semasa sidang media.

    “Awal hari ini, bandar Greenfield telah dilanda puting beliung yang dahsyat. Petugas kecemasan tempatan, daerah dan negeri segera memulakan operasi mencari dan menyelamat sebaik puting beliung itu melalui kawasan itu,” kata Dinkla.

    “Malangnya, kami boleh mengesahkan bahawa terdapat kematian akibat puting beliung ini, juga kecederaan dialami oleh penduduk di kawasan Greenfield itu,” katanya. Dinkla tidak memberikan jumlah kematian tetapi berkata kira-kira belasan orang telah dibawa ke hospital.

    “Selepas pencarian di kawasan itu, kami percaya kami telah mengira semua orang,” katanya.

    Gambar-gambar di laman Des Moines Register menunjukkan kemusnahan yang meluas di Greenfield, dengan kebanyakan rumah musnah dan timbunan kayu dan runtuhan yang bersepah, dengan pokok turut tumbang dan kereta terbalik.

    Bandar itu akan berada di bawah perintah berkurung mandatori dari 10 malam hingga 7 pagi hari ini, kata Dinkla, sambil menambah bahawa perintah berkurung itu dijangka berjalan untuk beberapa waktu. – AFP

    Orang ramai berjalan melepasi kerosakan di Greenfield, Iowa pada 21 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...