RIO BONITO DO IGUAÇU, BRAZIL, 9 NOV – Sekurang-kurangnya enam maut manakala kira-kira 750 orang cedera selepas puting beliung yang memusnahkan hampir keseluruhan sebuah bandar kecil di selatan Brazil pada Jumaat malam, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Fenomena tersebut melanda bandar Rio Bonito do Iguacu, wilayah Parana yang mempunyai 14,000 penduduk, dengan kelajuan angin mencecah 250 kilometer sejam, mengakibatkan kerosakan besar apabila kereta terbalik seperti mainan dan bangunan ranap sepenuhnya.
Walaupun ribut berkenaan hanya berlangsung beberapa minit, kesannya amat dahsyat. Gambar udara menunjukkan seluruh bandar hampir musnah, dengan serpihan bangunan dan barangan bertaburan di merata tempat.
Kelmarin, penduduk yang masih terkejut dilihat menggali runtuhan rumah mereka bagi menyelamatkan barangan yang tersisa.
“Saya pulang dan mendapati rumah sudah tidak berbumbung,” kata Nereu Sabadini, 51, yang bekerja di luar bandar sewaktu taufan melanda. “Saya kini tiada tempat tinggal dan untuk membina semula akan ambil masa lama.”

Pihak berkuasa menyatakan 90 peratus kawasan bandar mengalami kerosakan teruk.
“Ia musnahkan segala-galanya termasuk rumah, sekolah, kedai. Apa akan jadi dengan kami selepas ini?” ujar Roselei Dalcandon sambil berdiri di hadapan runtuhan kedainya.
Menurut kerajaan negeri Parana, enam orang terkorban, manakala pasukan bomba dan perubatan merawat 750 mangsa cedera, termasuk sembilan dalam keadaan serius.
Seorang masih dilaporkan hilang dan jumlah korban dijangka meningkat berikutan usaha mencari dan menyelamat yang masih dijalankan. Pusat perlindungan sementara telah didirikan di bandar berhampiran.
“Keadaannya seperti medan perang,” kata Fernando Schunig, ketua agensi Pertahanan Awam Parana kepada saluran bantuan portal G1.
Dia menjelaskan kemungkinan korban bertambah adalah tinggi kerana taufan melanda kawasan pusat bandar, yang padat dengan bangunan dan penduduk.
Presiden Luiz Inacio Lula da Silva mengumumkan bahawa pasukan menteri dan pakar bantuan bencana telah dihantar ke lokasi kejadian, sambil menyatakan solidariti beliau terhadap semua mangsa yang terjejas. – AFP
