Puting beliung Titli melanda Odisha

NEW DELHI, 11 Okt – Ribut puting beliung Titli telah melanda Odisha, India awal pagi hari ini sekali gus mencetuskan hujan lebat di bahagian timur negara itu dan juga wilayah Andhra Pradesh,menurut pihak berkuasa.

Titli, dalam Bahasa Hindi bermaksud kupu-kupu melanda Odisha, bandar Gopalpur kira-kira jam 6 pagi waktu setempat dengan kelajuan 140kph hingga 150kph, menurut pegawai Jabatan Meteorologi.

“Puting beliung itu dijangka akan berkurangan dari segi kelajuan angin,” katanya.

Meskipun belum ada laporan mengenai mangsa yang terkorban, setakat ini pokok-pokok dan tiang-tiang elektrik tercabut di beberapa tempat di Odisha.

“Ini kerana kira-kira 300,000 orang telah dipindahkan. Selain itu, 1,112 kem bantuan kemanusiaan telah dibukakan di seluruh Odisha bagi orang yang dipindahkan,” beritahu Pesuruhjaya Bantuan Khas wilayah, Bishnupada Sethi kepada media. Sementara itu, pihak berkuasa telah membatalkan semua penerbangan dan perkhidmatan kereta api antara Andhra Pradesh dan Odisha. “Beberapa penerbangan swasta telah membatalkan semua operasi penerbangan di Odisha,” kata pihak berkuasa.

Pasukan Tindakan Bencana Kebangsaan (NDRF) telah dikerahkan ke daerah-daerah terjejas sekitar Odisha.

“Tentera India akan dikerahkan jika diperlukan,” tambah beliau. – Xinhua

Usaha memotong dahan-dahan pokok jatuh yang menghalang jalan raya giat dijalankan selepas hujan lebat melanda wilayah Odisha, kelmarin. – AFP