Penyanyi Indonesia, Putri Ariani yang juga peserta America’s Got Talent 2023, mencetuskan suasana menggembirakan di Istana Merdeka pada Khamis, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia.
Dengan diiringi alunan piano, beliau memukau ribuan tetamu dan Presiden Indonesia, Joko Widodo dengan lagu ‘Melati Putih’ ciptaan Guruh Sukarno Putra.
Sebelum meneruskan dengan lagu keduanya, penyanyi itu mengumumkan akan membuat persembahan di pentas separuh akhir America’s Got Talent pada 5 September di Los Angeles dan mengharapkan sokongan daripada seluruh masyarakat Indonesia.
Ratusan tetamu yang memakai pakaian tradisional etnik, termasuk menteri, pegawai tentera dan polis membanjiri kawasan lapang untuk menari sambil mendengarkan dendangan lagu ‘Rungkad’ hasil ciptaan Vicky Tri Prasetyo.
Tema Hari Kemerdekaan tahun ini, ‘Terus Melaju Untuk Indonesia Maju’ merangkumi usaha kolektif untuk kemajuan negara.
Naib Presiden, Ma’ruf Amin berkata sambutan tahun ini amat bermakna dan bagaimana pelbagai pakaian tradisional mewakili kepelbagaian etnik Indonesia.
“Kami berharap Indonesia akan terus melakar kemajuan. Kami akan pastikan ia menjadi kenyataan. insyaAllah tahun depan kita akan meraikannya di ibu negara baharu, Nusantara,” katanya. – Bernama