Juri program America’s Got Talent (AGT), Simon Cowell, secara peribadi berpendapat Putri Ariani dari Indonesia, layak bergelar juara pertandingan itu yang berlangsung pada malam Rabu lalu.
Simon berkata persembahan Putri Ariani, 17, menerusi lagu Don’t Let The Sun Go Down On Me nyanyian asal Elton John, pada peringkat final disifatkan sebagai menakjubkan dan layak bergelar pemenang.
“Awda adalah salah satu daripada berlian kecil yang jarang kami temui. Awak secara semula jadi dilahirkan untuk menyanyi.
“Awda telah mengatasi begitu banyak rintangan dalam hidup untuk memenuhi impian dalam pertandingan ini dan awda sangat layak bergelar juara,” katanya.
Pada pertandingan itu, Putri Ariani mendapat tempat keempat meskipun dilihat sebagai peserta kegemaran untuk menjuarai pertandingan musim ke-18 tersebut.
Penonton turut melahirkan kekecewaan apabila dia tidak memenangi pertandingan berkenaan.
Juara AGT kali ini milik seekor anjing jenis Border Collie yang diberi nama ‘Hurricane’ bersama tuannya iaitu Adrian Stoica, yang berjaya menambat hati penonton.
Manakala tempat kedua pula ahli silap mata, Anna DeGuzman dan kumpulan tarian Murmuration mendapat tempat ketiga.
Putri Ariani yang juga kurang upaya penglihatan sebelum ini mendapat tumpuan dunia apabila sesi uji bakatnya tular selepas Simon memberi Golden Buzzer pada persembahannya.
Lebih membanggakan, Putri Ariani turut menyanyikan lagu ciptaannya sendiri iaitu Loneliness sambil bermain piano. – Agensi