Pelakon Malaysia, Mimi Lana mengaku putus cinta adalah fasa paling menyakitkan buat setiap pasangan yang bercinta.
Mimi berkata, dia juga tidak suka untuk menunjukkan penderitaan yang terpaksa ditanggung akibat daripada sebuah perpisahan.
“Putus cinta itu rasa sakitnya seakan waktu berhenti. Hidup di antara ingatan yang lumpuh dan rindu yang membunuh.
“Di sebalik senyuman yang dibalas dalam setiap situasi dan pertanyaan itu memiliki luka di balik kamar yang sunyi,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.
Menurut Mimi, pengalaman hitam yang dilalui setiap pasangan berpisah juga memberi sejuta pengajaran bermakna mengenai erti kasih dan sayang.

“Untuk ke sekian kali, magis cinta itu belum dapat dirasai tetapi kasih dan sayang itu sentiasa ada.
“Mungkin kerana yang maha cinta itu tidak ada, yang ada cuma Maha Pengasih dan Penyayang.
“Penderitaan manusia juga mulai ketika manusia merasa memiliki. Sakit itu datangnya daripada rasa kita pemilik segalanya.
“Teruskan refleksi diri daripada terus hanyut tanpa arah. Semoga hati yang terluka tidak pernah berhenti berkasih sayang walaupun cintanya telah pergi,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Biarpun tidak menyebut nama individu yang menderita akibat perpisahan, namun ruangan komen dibanjiri dengan andaian warganet yang mengaitkan luahan hati Mimi dengan isu perkahwinan bersama pelakon Syafiq Kyle yang dibatalkan pada saat akhir.
Terdahulu, hubungan Mimi dan Syafiq dikatakan berakhir seminggu sebelum mereka mendirikan rumah tangga, malah punca pembatalan itu masih mencetuskan tanda tanya. – Agensi