Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Seramai 50 orang ahli Pertubuhan Wargamas (PW) telah menghadiri Program Saringan Komuniti Demensia yang berlangsung di Ibu Pejabat PW, hari ini.
Antara yang hadir ialah Yang Di-Pertua PW, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don dan Pengasas Demensia Brunei, Dr Teo Shyh Poh.
Program turut diisikan dengan taklimat mengenai demensia yang telah disampaikan oleh Setiausaha Demensia Brunei, Dayang Nurul Bazilah binti Haji Ali.
Terdahulu itu, peserta program menyertai sesi senamrobik yang dipimpin oleh Pengiran Razali bin Pengiran Yusof Metali.
Haji Abu Bakar dalam ucapannya antara lain menjelaskan, program berkenaan diadakan sebagai sokongan padu PW terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh Demensia Brunei untuk mempromosikan kesedaran demensia.
Selain itu, ia sebagai fungsi PW untuk memastikan kesihatan warga emas terjaga dan terjamin yang mana inisiatif persatuan tersebut adalah sangat relevan kerana salah satu penyebab demensia adalah penuaan yang ada hubungan dengan fungsi PW.
Selepas taklimat Program Saringan Demensia, Jawatankuasa Tadbir Tertinggi PW telah berbincang akan membuat memorandum persefahaman bersama Demensia Brunei mengenai strategi menyebarluaskan lagi kesedaran demensia dalam kalangan ahli PWE dan warga emas di Negara Brunei Darussalam.



