Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PW sambut Maulidur Rasul, HAWE

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Dalam menzahirkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW, Pertubuhan Wargamas (PW) telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE), hari ini.

    Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PW itu dimulakan dengan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah.

    Perkongsian Ilmu mengenai ‘Pengurusan Harta dan Pusaka’ telah disampaikan oleh Dato Seri Setia Haji Metussin bin Haji Baki diikuti dengan persembahan Selawat Badriah oleh wargawira PW manakala persembahan Qul Ya Azim pula dibawakan oleh warganita PW seterusnya Dikir Marhaban beramai-ramai.

    Terdahulu, Yang Di-Pertua PW, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don dalam ucapan alu-aluannya melahirkan harapan bahawa melalui perkongsian ilmu itu, ia sedikit sebanyak akan dapat memberikan pengetahuan mengenai harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan cara pengurusan dalam Islam.

    Beliau seterusnya menjelaskan, antara lain tujuan HAWE tahun ini adalah sebagai langkah mendukung rancangan kerajaan khususnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam memberi keutamaan terhadap pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan warga emas melalui Pelan Tindakan Warga Emas di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS). Sambutan itu, tambah beliau, juga sebagai langkah berwawasan PW dalam mengukuhkan perpaduan seterusnya memberikan sumbangan berterusan kepada golongan warga emas yang kurang mampu.

    Di samping itu, majlis juga menjadikan Ibu Pejabat PW sebagai platform sumber ilmu dalam mengongsikan pengalaman dan pengetahuan bernilai melalui bimbingan dan nasihat bukan sahaja untuk golongan warga emas tapi juga untuk belia dan generasi baharu. HAWE mula diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1990 dan ia diraikan di seluruh dunia pada setiap 1 Oktober.

    Haji Abu Bakar menyampaikan semasa ucapan alu-aluannya.

    Antara ahli PW yang menghadiri Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dan Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda