Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pyongyang batalkan pertemuan dengan Pence

    WASHINGTON, 21 Feb – Mike Pence dan para pegawai Korea Utara telah merancang untuk bertemu secara rahsia ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, tetapi Pyongyang membatalkan rundingan selepas naib presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengecam penganiayaan daripada ‘rejim pembunuh’ itu, kata pegawai AS semalam.

    Pence tidak berinteraksi dengan Korea Utara walaupun beliau duduk dalam petak yang sama dengan mereka pada Upacara Pembukaan Sukan Olimpik pada 9 Februari, begitu juga beliau tidak berjabat tangan dengan wakil pemimpin Korea Utara, Kim Yong Nam ketika majlis sambutan pemimpin sebelum itu.

    Kerajaan Korea Utara, yang telah menghantar Kim Yong Nam dan adik perempuan pemimpin Kim Jong Un, Kim Yo Jong ke kejohanan itu, menarik diri daripada mesyuarat selepas Pence mengumumkan Washington akan melancarkan ‘sekatan paling agresif’ ke atas Pyongyang tidak lama lagi.

    Ketika kunjungan ke Asia, beliau juga mengutuk kempen nuklear Korea Utara dan berusaha mempertingkat hubungan dengan sekutu serantau dan musuh lama Korea Utara, Jepun dan Korea Selatan.

    Gambar fail pada 9 Februari 2018 menunjukkan Mike Pence (kanan) dan Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, menghadiri Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Pyeongchang 2018 di Korea Selatan. Rancangan Mike Pence untuk mengadakan rundingan secara rahsia terbengkalai apabila Pyongyang membatalkan perjumpaan itu. – AFP

    Pence, yang memimpin perwakilan Amerika ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, berkata pada masa beliau berkunjung bersama bapa kepada bekas tahanan, Otto Warmbier ke Korea Selatan supaya mengingatkan dunia tentang kekejaman yang berlaku di Korea Utara.

    “Korea Utara ingin naib presiden supaya tidak menggunakan arena dunia untuk menarik perhatian kepada fakta mutlak atau memaparkan gabungan kami yang kukuh dengan mereka yang komited kepada kempen tekanan maksimum,” kata jurucakap Pence, Ayers.

    Jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert berkata hanya ‘satu mesyuarat singkat’ bersama pemimpin perwakilan Korea Utara yang telah dikemukakan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda