Thursday, March 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pyrrosia, pokok tumpang yang memikat

    SATU lagi spesies tumbuhan paku pakis yang tidak kurang cantik dan menarik untuk dijadikan tanaman hiasan adalah spesies dalam genus tumbuhan Pyrrosia di mana ia tergolong dalam keluarga tumbuhan Polypodiaceae.

    Pokoknya dilihat tumbuh menumpang pada batang pokok lain iaitu melekat pada kulit pokok kayu dan juga pokok lain seperti pokok kelapa sawit.

    Manakala daunnya yang berbentuk seakan-akan reben itu pula tumbuh berjuntai ke bawah.

    Penampilan dan pameran daunnya yang agak ringkas ini tetap menarik untuk dijadikan sebagai tanaman hiasan.

    Ia sebenarnya adalah sejenis pokok paku liar yang dikatakan berasal dari negara di kawasan tropika.

    Pyrrosia dilihat tumbuh menumpang pada batang pokok lain iaitu melekat pada kulit pokok kayu dan juga pokok lain.
    Pyrrosia dilihat tumbuh menumpang pada batang pokok lain iaitu melekat pada kulit pokok kayu dan juga pokok lain.
    Pyrrosia sesuai untuk ditanam di dalam pasu bagi tujuan dekotaman rumah.
    Pyrrosia sesuai untuk ditanam di dalam pasu bagi tujuan dekotaman rumah.

    Pembiakan

    Spesies ini boleh dibiakkan dengan menggunakan anak pokok dan kaedah penanamannya adalah dimulakan dengan mendapatkan anak pokok yang tumbuh di sekeliling pokok induknya.

    Gunakan serat kelapa yang telah disiat halus sebagai medium tanamannya untuk dilekatkan dan diikatkan pada sistem akarnya.

    Seterusnya ikat anak pokok tadi pada batang kayu seperti pertumbuhan di alam semula jadinya.

    Sebagai alternatif anda boleh juga menggunakan campuran lumut ‘Sphagnum moss’ dan serat kelapa sebagai medium tanaman.

    Jika menanam dalam pasu gunakan medium tanaman untuk pokok berpasu dalam campuran 3:2:1 iaitu tanah gembur, Bahan organik dan Pasir sungai.

    Penjagaan

    Spesies Pyrrosia tidak sesuai untuk didedahkan kepada cahaya matahari terik kerana keadaan itu tidak sesuai untuk pertumbuhannya.

    Sebaliknya letakkan tanaman ini di bawah keadaan redup dari terik cahaya matahari.

    Ia sukakan kepada keadaan kelembapan yang tinggi. Sembur air terus ke bahagian sistem akarnya agar medium tanamannya sentiasa lembap.

    Sembur juga daunnya bagi mengekalkan kelembapan terutamanya pada hari panas terik.

    Ia tidak memerlukan pembajaan kerana di habitat semula jadinya, pokok ini mendapat nutrien daripada reputan daun dan sebagainya.

    Jika mahu tanam di kediaman, disyorkan anda menggunakan baja cecair yang dilarutkan ke dalam air siraman atau semburan.

    Pokok ini boleh juga ditanam atau dipamerkan dalam sabut atau buah kelapa.

    Sebenarnya banyak lagi spesies paku pakis liar di negara kita ini yang boleh diketengahkan untuk dijadikan sebagai tanaman hiasan kerana berdaun unik, cantik dan menarik.

    Idea pameran

    Tanam spesies ini pada kayu mati atau kayu hanyut untuk digantung kerana ciri pertumbuhannya yang tumbuh cantik berjuntai ke bawah.

    Ia juga sesuai untuj ditanam dengan melekatkannya pada batang kayu seperti di alam semula jadinya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda