Friday, January 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qabil tidak bercadang bersaing di Olimpik 2024

    KUALA LUMPUR, 9 NOV – Atlet ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil menjelaskan persediaannya ke Sukan Asia Hangzhou 2022, yang berlangsung bermula 23 September hingga 8 Oktober lepas, menyebabkan beliau tidak dapat memberikan tumpuan untuk kelayakan ke Olimpik Paris 2024.

    Atlet berusia 43 tahun itu yang meraih emas acara dressage individu di Hangzhou, China, berkata latihan rapi dan fokus terhadap temasya itu, menyebabkan beliau terlepas kebanyakan kejohanan kelayakan yang berlangsung dari awal tahun ini.

    “Banyak pertandingan saya terlepas dan untuk mengejarnya agak sukar, jadi saya putuskan untuk memberi tumpuan dalam Sukan Asia berbanding Olimpik tetapi insya-Allah kalau ada sokongan dan bantuan untuk Olimpik seterusnya, saya boleh,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

    Atlet yang berpengalaman luas selama 28 tahun dalam sukan berkuda itu, berkata perihal keluarga dan juga kos untuk membeli kuda yang tinggi, turut menjadi antara faktor beliau masih belum bercadang untuk bersaing pada Sukan Olimpik itu.

    “Saya rasa atlet muda harus sanggup berkorban masa, tenaga juga wang ringgit untuk negara, pengorbanannya agak besarlah sebagai atlet. Separuh daripada hayat saya, dihabiskan dalam sukan ini dan saya fikir ia adalah perjalanan yang panjang dan sukar tapi akhirnya awda akan rasa berbaloi dengan kemenangan pingat emas ini.

    “Saya rasa ini satu kenangan yang saya tidak boleh lupakan kerana berupaya untuk menyumbang kepada negara dan mewakili Malaysia,” katanya yang bangga dapat bertanding mewakili negara sejak 1995.

    Menurutnya, keserasian bersama kuda amat penting untuk mencipta kejayaan dalam sukan itu dan ia memerlukan kerjasama penunggang, jurulatih, doktor haiwan dan penjaga kuda untuk merealisasikannya. – Bernama

    Qabil jaguh ekuestrian negara dan juara dressage individu Sukan Asia Hangzhou 2022. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda