Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qada dan qadar

    Oleh Dayang Z –

    Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya akan qada dan qadar, bahawa setiap satu yang berlaku merupakan ketetapan Allah Yang Maha Mengetahui. Berserah kepada takdir tanpa usaha juga bukan merupakan perkara yang baik, tetapi berdamai dengan takdir yang ditetapkan menunjukkan tahap keimanan yang tinggi sebagai hambaNya di muka bumi ini.

    Penulis sendiri pernah mengalami suatu kejadian yang tidak mungkin dapat dilupakan ketika berusia 11 tahun. Penulis sekeluarga berada di Kuching, Sarawak dan bersekolah di sekolah rendah berhampiran kem tentera. Sebagai anak tentera, penulis dan abang sulungnya yang ketika itu berumur 15 tahun dapat menaiki trak tentera atau dikenali sebagai feri sekolah untuk pergi dan pulang dari sekolah. Mereka menaiki feri yang berlainan kerana abang sulung menuju ke sekolah menengah di bandar.

    Seawal pagi, abang penulis perlu bersiap terlebih dahulu kerana jarak sekolah yang jauh bermakna feri sekolah akan tiba lebih awal. Abangnya merupakan pelajar yang rajin dan amat jarang ponteng sekolah atau bercuti sakit. Pada suatu pagi, penulis mendapati abangnya masih berselimut tidur dan belum bersiap ke sekolah. Rupa-rupanya dia sudah mahu bersiap ke sekolah, tetapi selepas mandi, merasa kurang sihat dan terus memaklumkan kepada ibu bapa mereka yang dia enggan bersekolah pada hari itu.

    Mereka membenarkan dia berehat di rumah dan ayah segera memaklumkan kepada pemandu feri sekolah yang sudah tiba di hadapan rumah bahawa abangnya tidak ke sekolah. Penulis pula bersiap untuk ke sekolah dan menaiki feri lain untuk ke sekolah rendah.

    Setelah waktu rehat di sekolah, penulis masih ingat beberapa orang guru kelihatan bergegas ke kelas-kelas dan bertanya jika ada adik beradik yang menaiki sebuah feri bernombor 1234 (bukan nombor sebenar). Penulis lantas teringat itu merupakan nombor feri sekolah abangnya. Tetapi penulis tahu dia berada di rumah kerana kurang sihat dan memberitahu guru. Ketika itu penulis masih tidak tahu apa yang berlaku.

    Hanya apabila waktu pulang, pemandu feri sekolah memberitahu kami bahawa feri sekolah 1234 mengalami kemalangan pada waktu pagi. Kemalangan tersebut menyebabkan seorang pelajar sekolah menengah maut akibat tertembus besi penghadang jalan. Keadaan kecoh kerana terdapat ramai pelajar lain turut tercedera dan ada juga pelajar yang parah.

    Setibanya di rumah, ayah turut berada di sana dan berkongsi berita kemalangan jiwa tersebut. Ayah tidak putus-putus mengucapkan syukur kerana abangnya tidak menaiki feri sekolah tersebut. Sebaik sahaja mengetahui identiti pelajar yang terkorban, abangnya kelihatan sayu dan sedih. Ternyata pelajar tersebut merupakan rakannya sendiri dan mereka sering duduk bersama di dalam feri sekolah.

    Abangnya mungkin turut tercedera atau lebih teruk lagi, dia mungkin maut jika berada di dalam feri di tempat duduk yang sama. Kuasa Allah Maha Besar dan takdir dia terselamat daripada malapetaka tersebut.

    Ketika berumur 15 tahun penulis dan abang sulungnya menaiki trak tentera atau dikenali sebagai feri sekolah untuk pergi dan pulang dari sekolah. – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda