Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri Dua
Kewajipan Mengqadha Sembahyang
Seseorang yang meninggalkan sembahyang fardhu tanpa sebarang keuzuran syarak, wajib ke atasnya untuk mengqadha sembahyang yang luput itu.
Hendaklah diketahui bahawa tidak ada sesuatu keuzuran pun yang membolehkan seseorang Islam meninggalkan sembahyang melainkan keuzuran disebabkan tidur dan disebabkan lupa akan waktu sembahyang dan sembahyang itu.
Diriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang lupa akan sembahyang atau tidur (tanpa mengerjakan sembahyang), maka hendaklah dia sembahyang (mengqadhanya) apabila dia teringatkannya.” (Hadis riwayat ad-Darimi)
Sembahyang yang luput disebabkan keuzuran syarak, seperti lupa ataupun tidur yang bukan disengajakan, tetap wajib diqadha dan sunat menqadhanya dengan segera apabila sedar atau teringat. Malahan mengqadhanya dengan segera merupakan perbuatan yang disukai.
Manakala menurut pendapat yang al-ashah (lebih terpilih), sembahyang yang luput bukan disebabkan keuzuran syara‘ seperti sembahyang fardhu yang ditinggalkan dengan sengaja, kerana malas, leka dan lalai dengan hiburan atau permainan, maka wajib diqadha dengan serta merta.
Bagaimanapun, seorang kafir setelah menjadi muslim, tidak wajib ke atasnya mengqadha sembahyang yang luput semasa dia dalam keadaan kafir.
Demikian juga sembahyang yang ditinggalkan oleh kanak-kanak sebelum mencapai baligh.
Begitu juga perempuan yang haidh dan nifas tidak wajib mengqadha sembahyang mereka menurut kesepakatan (ijma‘) ulama, kerana perempuan haidh dan nifas tidak diwajibkan sembahyang. Bagaimanapun mereka wajib mengqadha puasa Ramadan yang luput kerana keuzuran yang dimaksudkan.
Adapun bagi orang yang gila, pengsan atau hilang akal setelah dia sedar, maka tidak wajib mengqadha sembahyang yang luput itu. Bagaimanapun disyaratkan hilang akalnya itu bukan disebabkan oleh perkara yang diharamkan, seperti seseorang yang menjadi gila, jatuh pengsan atau hilang akal disebabkan penyakit, meminum ubat disebabkan hajat (keperluan) atau dipaksa meminum minuman yang memabukkan lalu hilang akalnya, maka tidak diwajibkan sembahyang ke atas mereka yang disebutkan ini. Oleh kerana itu, tidak ada (kewajipan) qadha ke atas mereka setelah mereka sedar tanpa sebarang perselisihan ulama.
Tidak pasti jumlah sembahyang yang ditinggalkan
Kadang-kadang terdapat juga keadaan di mana seseorang itu sedar atau insaf bahawa semenjak dia ditaklifkan (diwajibkan) untuk melaksanakan sembahyang, dia tidak melazimi sembahyang. Malah, pada suatu ketika dahulu, dia pernah luput sembahyang bukan disebabkan keuzuran syara‘ seperti sengaja, malas ataupun terlalai dalam melaksanakan ibadat utama ini.
Apabila timbul kesedaran dan keinsafan mengenai kewajipan mengqadha sembahyang yang luput bukan disebabkan keuzuran syarak itu, bagaimanapun dia tidak pasti berapakah jumlah sebenar sembahyang fardhu yang luput itu. Oleh yang demikian, bagaimanakah cara yang paling tepat atau yang diyakini untuk mengira jumlah qadha sembahyang tersebut?
Dalam permasalahan sebegini, menurut pendapat Ibnu Hajar Rahimahullah, sembahyang yang diragui apakah telah dikerjakan ataupun tidak, maka sembahyang (yang diragui) tersebut wajib diqadha dan bukan hanya setakat mengqadha sembahyang yang secara pasti telah ditinggalkannya atau tidak dikerjakannya. Demikianlah juga menurut pendapat yang al-ashah (lebih terpilih), iaitu pendapat al-Qadhi Husain Rahimahullah.
Cara seseorang itu mengqadha sembahyang yang luput dan tidak diketahui secara pasti jumlahnya yang sebenar ialah terlebih dahulu hendaklah dia memastikan berapakah jumlah sembahyang yang secara pasti telah dikerjakannya.
Sekiranya dia mengatakan bahawa sekian adalah jumlah sembahyang yang dikerjakannya secara pasti, maka dengan jawapan itu dapat pula diketahui bahawa sekian pula adalah jumlah sembahyang yang ditinggalkannya. Kemudian setelah diketahui jumlah sembahyang yang telah ditinggalkannya itu, maka wajib ke atasnya mengqadha jumlah yang luput itu dan dilebihkan lagi daripada jumlah tersebut. Beginilah juga cara mengqadha puasa yang luput yang tidak diketahui bilangan harinya.
Timbul syak sembahyang yang ditinggalkan itu ketika baligh atau belum?
Kanak-kanak lelaki dan perempuan yang mumayyiz, berumur tujuh tahun qamariyyah, hendaklah diarahkan atau diperintahkan untuk melaksanakan sembahyang. Manakala pada umur 10 tahun qamariyyah, kanak-kanak ini dipukul, dengan pukulan yang tidak memudaratkan pada bahagian anggota yang tertentu, sekiranya meninggalkan sembahyang ataupun lalai dari mengerjakannya. Manakala sembahyang yang ditinggalkan setelah mencapai baligh, maka sembahyang yang luput itu wajib diqadha.
Bagaimanapun sekiranya seseorang merasa syak apakah sembahyang yang luput atau ditinggalkan itu berlaku sebelum dia baligh ataupun setelah baligh, maka dalam keadaan ini tidak wajib ke atasnya mengqadha sembahyang tersebut.
Sukat-sukat dalam perkara ini ialah apabila dia telah diwajibkan mendirikan sembahyang, lalu dia ragu adakah dia telah melaksanakannya ataupun tidak, maka wajib baginya mengqadhanya kerana telah yakin (pasti) diwajibkan (dan tertanggung) ke atasnya.
Bagaimanapun sekiranya dia ragu apakah sembahyang telah diwajibkan ke atasnya ataupun belum, maka tidak wajib ke atasnya mengqadhanya kerana pada asalnya dia tidak diwajibkan melaksanakannya (tidak ditanggungkan ke atasnya).
Pendapat ini bertepatan dengan jawapan sebahagian ulama kepada seseorang yang berkata: “Aku mempunyai sembahyang-sembahyang yang luput yang aku tidak ingat jumlahnya.” Lalu kami (ulama tadi) mengembalikanmu ke zaman balighmu.
Maka apa (sembahyang) yang kamu pasti mengerjakannya dari waktu balighmu, maka (dihukumkan) engkau telah (pasti) mengerjakannya. Dan apa (sembahyang) yang engkau ragui mengerjakannya, maka wajib ke atasmu mengqadhanya.
Sebagai kesimpulan, sembahyang merupakan kewajipan ke atas setiap individu muslim, lelaki dan perempuan, dilaksanakan pada waktu-waktunya yang telah ditetapkan.
Mencuaikan sembahyang sehingga sembahyang itu terkeluar dari waktunya adalah suatu dosa yang besar, sekalipun seseorang itu bersegera untuk mengqadhanya. Selain itu, hendaklah dia bertaubat dan mengakui kesalahan tersebut dan berhenti dari membuat kesalahan sedemikian.
Cara mengira jumlah qadha sembahyang yang tidak diketahui secara pasti jumlahnya, hendaklah terlebih dahulu diketahui secara pasti berapakah jumlah sembahyang yang telah dikerjakan. Dengan jumlah tersebut dapat pula diketahui berapa jumlah sembahyang yang tidak dikerjakan.
Jumlah sembahyang yang tidak dikerjakan itu wajib diqadha dan dilebihkan lagi daripada jumlah tersebut. Manakala sembahyang yang diragui sama ada telah dikerjakan atau tidak, maka kedudukannya adalah wajib diqadha.
Di sini ingin disarankan, sebagai sebahagian daripada usaha seseorang dalam mengqadha sembahyang yang luput, adalah elok dia menyediakan seumpama buku catatan untuk tujuan merekod. Tujuannya ialah dalam buku catatan tersebut bukan sahaja menyatakan jumlah yang wajib diqadha, malahan perkara yang tidak kurang pentingnya ialah catatan atau rekod jumlah yang sudah diqadha.
Catatan jumlah yang sudah diqadha adalah perlu dibuat bertujuan supaya jangan sampai seseorang terlupa dan keliru mengenai jumlah yang sudah diqadha yang seterusnya boleh membawa semula kepada kesamaran dan keraguan. Mudah-mudahan dengan adanya buku catatan tersebut akan memberi manfaat berupa kepastian dan keyakinan dalam mengqadha baki jumlah sembahyang yang luput.