Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – QAF Auto hari ini mengumumkan Kelab Peak sebagai Rakan Pengecas Destinasi BMW terbaharunya, menjadikannya sebuah pusat rekreasi pertama di Brunei yang menawarkan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).
Majlis pelancaran disempurnakan dengan upacara pemotongan reben oleh Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo dan Pengurus Besar Kelab Peak, Awang Azmi Ghazali, diiringi oleh pihak pengurusan kedua-dua syarikat.
Menurut Alisa, memandangkan populariti EV terus berkembang, langkah menempatkan pengecas di lokasi utama seperti Kelab Peak menggariskan komitmen mereka untuk menyokong gaya hidup dan keperluan mobiliti pelanggan.
Melalui pengumuman rakan strategik baharu dengan Kelab Peak, QAF Auto berharap infrastruktur pengecasan untuk pemilik BMW EV di seluruh negara akan terus berkembang.
“Pemilihan kelab berkenaan di Brunei yang menawarkan stesen pengecasan EV mencerminkan dedikasi kami untuk menyepadukan kemampanan ke dalam aktiviti harian, memudahkan pengguna untuk mengecas kenderaan mereka sambil meningkatkan kesejahteraan mereka. Kerjasama ini adalah selaras dengan visi kami untuk masa depan yang lebih hijau dan menggariskan pendekatan holistik kami terhadap kemampanan,” jelasnya.
Sementara itu, Awang Azmi pula berkata, dengan pelancaran stesen pengecas destinasi EV kelab itu, mereka menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan yang akan memberi manfaat kepada ahli.
“Kami juga menyediakan ruang menunggu yang selesa bagi mana-mana pelanggan yang ingin mengecas kereta mereka,” tambahnya.



