Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – QAF Auto Sdn Bhd telah mengumumkan Ibu Pejabat Bank Baiduri di One Riverside sebagai Rakan Pengecas Destinasi BMW yang pertama di negara ini.
Perasmian Rakan Pengecas Destinasi BMW telah diadakan hari ini dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri Berhad, Ti Eng Hui; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau; dan Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Alisa Khoo.
Turut hadir menyaksikan perasmian itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Perniagaan, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.
Kerjasama QAF Auto dengan Bank Baiduri menandakan satu peristiwa penting dalam peralihan yang semakin pantas ke arah kenderaan elektrik (EV) dan sejajar dengan strategi holistik syarikat untuk mewujudkan infrastruktur pengecasan yang lancar bagi pemilik EV BMW di seluruh negara.
Terdahulu perasmian itu, Alisa Khoo menjelaskan, “Program Rakan Pengecas Destinasi BMW telah memperluaskan rangkaian pengecasan awam dengan menyediakan stesen pengecasan sebagai destinasi gaya hidup yang popular selain bank berkenaan juga berfungsi sebagai lokasi yang ideal bagi pengecas kami, kerana ia menyediakan kebolehcapaian dan kepraktisan bagi pelanggan yang kami hargai.
“Ia juga menandakan komitmen teguh untuk masa depan kenderaan elektrik di Brunei,” ujarnya.
Manakala itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan QAF Auto, Ti Eng Hui berkongsi keterujaan untuk bekerjasama dengan QAF Auto bagi menyediakan pelanggan dengan pemikiran ke hadapan dan pilihan yang mampan.
“Perkongsian itu menunjukkan komitmen kami terhadap masa depan di mana teknologi baharu yang diselaraskan dengan akauntabiliti ekologi, menjanjikan pelanggan kami dengan pengalaman bersepadu yang mana kedua-duanya mengambil kira terhadap alam sekitar dan cekap secara inventif dalam perjalanan perbankan mereka,” tambahnya.
Setiap pembelian EV BMW daripada QAF Auto disertakan dengan pemasangan Wallbox rumah percuma, waranti lapan tahun atau 160,000km bagi sistem bateri voltan tinggi, tiga tahun atau waranti lanjutan BMW 200,000km dan enam tahun termasuk servis BMW perbatuan tanpa had.



