Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – QAF Brunei Group yang diwakili oleh pegawai pengurusan kanannya hari ini, telah menyerahkan 400 bungkus makanan dan minuman makan tengah hari bagi kakitangan perubatan yang bertugas di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan bakti mereka ketika negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19.
Bermula hari ini sehingga 18 April depan, trak makanan Ben Food akan menghantar bungkusan makan tengah hari yang disediakan khas oleh Restoran Millenium bagi para petugas barisan hadapan di Hospital RIPAS pada 13 hingga 15 April manakala itu, 16 hingga 18 April di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.
Ketua Pegawai Eksekutif QAF Brunei Group, Albert Lau dipetik menyatakan, “Pada masa yang mencabar bagi Brunei dan seluruh dunia ketika ini, adalah penting bagi QAF Brunei Group untuk menghargai segala jerih payah dan usaha serta sumbangan para petugas barisan hadapan berikan untuk kita.”
Beliau menambah bahawa sumbangan berkenaan merupakan lambang dan tanda penghargaan kepada mereka.
Salah seorang petugas barisan hadapan yang bertugas di Hospital RIPAS, Dayang Normasayu binti Zulbakir ketika ditemui pagi tadi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada QAF Brunei Group dan orang ramai yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada pasukan barisan hadapan yang pada ketika ini bertungkus lumus bagi menangani penularan COVID-19.
Meskipun beliau dan seluruh pasukan barisan hadapan bekerja setiap hari demi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa diutamakan, mereka berasa sangat dihargai atas sokongan berterusan daripada orang ramai kepada mereka.
