Oleh Pg Fairol RMF
Gambar Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2017, QAF Eurokars selaku pengedar tunggal kenderaan Porsche di Brunei telah menjemput pelanggannya untuk sama-sama menyambut Aidilfitri dengan jamuan penghargaan yang berlangsung di Pusat Porsche, Beribi, hari ini.
Selain menikmati jamuan istimewa, para pelanggan turut berpeluang mengikuti klinik perkhidmatan percuma bagi kereta-kereta Porsche mereka yang dikendalikan oleh kumpulan penyelenggara Porsche yang terlatih dan pemeriksaan tayar. Taklimat kefahaman tayar juga telah diadakan dengan kerjasama Syarikat Sin Hup Huat selaku pengedar rasmi tayar Michelin.
Pengurus Besar QAF Eurokars, Clement Chong berkata, acara berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang telah lama setia dan menyokong perjalanan pembangunan Porsche di Brunei selama ini, di samping itu diteruskan dengan menyambut Aidilfitri pada tahun ini.
Pelanggan yang hadir diberikan cenderahati jenama Porsche dan seorang pelanggan bertuah juga berpeluang memenangi tiket menyertai Porsche Driving Experience yang akan diadakan di Sepang, Malaysia.
Pelanggan juga berpeluang menyaksikan model Porsche Cayman GT4 sebagai kereta kemegahan Porsche yang dipamerkan sambil menyambut kemenangan ke-19 perlumbaan 24 jam Le Mans dengan menayangkan video perlumbaan di Pusat Porsche tersebut.

