Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qari Filipina, qariah Brunei juara

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-9, 1441H/2019M di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam hari ini.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia
    Tenggara ke-9.

    Majlis menyaksikan pengumuman keputusan pertandingan dengan johan qari disandang oleh Kamaruddin G Zaidon dari Republik Filipina, diikuti oleh Hadi bin Mohd Sharkawi dari Malaysia dan qari Brunei Darussalam, Awang Abdull Muin bin Haji Abdul Hamid menduduki tempat ketiga.

    Sementara itu, qariah negara, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki muncul juara qariah dengan A’tiiqah binti Suhaimi dari Republik Singapura di tempat kedua dan Nurul Husna binti Sharif dari Malaysia di tempat ketiga.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah tempat ketiga kepada Awang Abdull Muin.
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah naib johan qari kepada Hadi dari Malaysia.
    Baginda Sultan ketika berkenan berangkat ke majlis penyampaian hadiah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-9, malam tadi.
    Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke majlis tersebut.
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah tempat ketiga kepada Nurul Husna dari Malaysia.
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah naib johan qariah kepada A’tiiqah dari Republik Singapura.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan berangkat ke majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyampaikan sembah alu-aluan.
    Persembahan daripada johan qari bagi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 1441H/2019M.
    Persembahan daripada johan qariah bagi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 1441H/2019M.

    Para jemputan yang menghadiri majlis tersebut.

    Terdahulu, malam ketiga musabaqah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya antara lain menyatakan sejak mula diungkayahkan, Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara telah berjaya menarik lebih ramai penyertaan belia dari kalangan qari mahu pun qariah dari tahun ke tahun.

    Sehingga tahun ini, seramai 164 orang qari dan qariah telah menyertai musbaqah sejak pengendaliannya pada tahun 2000.

    Sembah beliau, amat membanggakan, para belia berkenaan benar-benar menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk sama sekali tidak akan membiarkan setiap generasi yang ada jauh dari agama tetapi akan terus konsisten menanam nilai-nilai Islam ke dalam kehidupan mereka.

    Pada masa yang sama, tambah beliau, musabaqah berkenaan juga terus berperanan sebagai jambatan penghubung dalam mempererat silaturahim yang sudah sedia terjalin antara warga Asia Tenggara.

    Menurut beliau, berkat kebijaksanaan dan pandangan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, musabaqah berkenaan adalah manifestasi keakraban negara-negara serantau selaku satu komuniti yang bersatu hati dan saling memberi dukungan dalam inisiatif-inisiatif yang memberikan impak yang besar.

    Lebih-lebih lagi, musabaqah tersebut bukan sahaja untuk bertanding semata-mata, malah ia dilihat sebagai salah satu inisiatif yang efektif untuk menyebarkan tarbiah Islam dan menyatukan ummah dan ukhuwah belia Asia Tenggara.

    Majlis diikuti dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah sebelum pengumuman keputusan musabaqah oleh pengerusi jemaah hakim, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Majlis juga diserikan dengan persembahan bacaan daripada qari dan qariah serta tayangan klip video pembacaan Al-Quran daripada qari dan qariah pada malam pertama dan kedua.

    Kemudian, majlis menyaksikan persembahan bacaan Al-Quran oleh johan qari dan qariah sebelum Baginda Sultan berkenan menganugerahkan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada johan qari dan qariah serta para peserta dan ahli-ahli jemaah hakim.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda