Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Haji Awang Zul-Hafiz bin Awang Tengah yang berjaya meraih tempat ketiga pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini, telah diraikan pada Majlis Penyampaian Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al-Quran bagi Wakil Negara Brunei Darussalam di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah galakan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dalam kata alu-aluannya menyatakan, majlis itu adalah bagi memberikan penghargaan kepada qari yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dan juga sebagai dorongan kepada qari dan qariah yang lain serta para belia yang berminat dan berpotensi dalam pembacaan Al-Quran secara bertarannum untuk meningkatkan lagi usaha memperkembangkan kemahiran di dalam bidang berkenaan.
Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al-Quran itu, jelasnya, telah dimulakan sejak 1989 atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
“Semenjak itu, skim ini telah dikurniakan kepada seramai 13 orang iaitu empat qari dan sembilan qariah yang mendapat tempat dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran di Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.”
Majlis diserikan lagi dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh Haji Awang Zul-Hafiz sebelum diteruskan dengan penyampaian hadiah skim penggalak kepada qari yang diraikan dan cenderamata kepada jurulatih yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin.



