Sunday, November 24, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qaswa, EPIC meterai LoI

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Dalam usaha untuk membuka laluan kerjasama strategik dalam Kluster Maritim Negara Brunei Darussalam (BDMC) khususnya melibatkan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan marin bersepadu, Qaswa Holdings Sdn Bhd (Qaswa) dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) telah memeterai surat hasrat (LoI) antara kedua-dua buah syarikat di majlis penandatanganan yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Hadir untuk menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei dan Menteri Besar Terengganu, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Pada majlis penandatanganan berkenaan, Qaswa telah diwakili oleh Pengerusi, Haji Musa Adinin; Pengarah, Awang Muhammad Luqman Hakeem Musa dan Pengurus Besar, Awang Hafriz Fayadh, manakala EPIC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ts Haji Muhtar Suhaili dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Terengganu, Haji Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Haji Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun serta Ahli Lembaga Pengarah EPIC, Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim@Mohamed dan Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew hadir bagi menyaksikan penandatanganan Lol berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Majlis pemeteraian Lol antara Qaswa dan EPIC. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Terdahulu Haji Musa dalam ucapannya berkata bahawa Qaswa yang ditubuhkan pada 2022 menumpukan kepada pelaburan dalam projek infrastruktur utama yang penting kepada pertumbuhan ekonomi Brunei.

    Misinya, jelas beliau adalah termasuk menjana peluang pekerjaan dan memupuk inisiatif limpahan bagi perniagaan tempatan.

    Sementara itu, Ts Haji Muhtar Suhaili dalam ucapannya berkata kerjasama itu berpotensi membuka lembaran baharu buat EPIC dalam memperluaskan jejak antarabangsa dan kerjasama syarikat.

    Syarikatnya amat teruja untuk meneroka usaha berimpak yang bukan sahaja sejajar dengan strategi pertumbuhan perniagaan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keupayaan maritim di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

    Manakala itu, Awang Hafriz Fayadh dipetik berkata pemeteraian LoI berkenaan merupakan sebuah pencapaian penting bagi Qaswa dalam merealisasikan potensi kerjasama serta pelaburan bersama EPIC.

    Dengan memanfaatkan kepakaran dan rekod pencapaiannya yang kukuh, jalinan hubungan strategik berkenaan dijangka memberikan manfaat besar kepada Qaswa dan menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi Negara Brunei Darussalam.

    LoI itu meletakkan landasan bagi potensi perolehan pegangan saham Qaswa oleh EPIC Berhad dan penglibatannya dalam pengoperasian limbungan penyelenggaraan marin dan limbungan penyahtauliahan pertama di Brunei Darussalam.

    Ia turut menggariskan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama bidang berkaitan bagi menggalakkan pertukaran kepakaran dan peluang pertumbuhan.

    Susulan pelaksanaan LoI berkenaan, EPIC dan Qaswa berhasrat memperkasakan kerjasama melalui pertukaran kepakaran dan peluang pelaburan strategik, menggalakkan kerjasama serta mempertingkatkan kualiti penawaran perkhidmatan demi manfaat kepentingan masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda