Saturday, December 28, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qatar, Abu Dhabi sedia bantu Indonesia bangunkan 7 juta rumah

    JAKARTA, 27 DIS – Indonesia bakal menerima bantuan daripada kerajaan Qatar dan Abu Dhabi, sebuah negeri di Emiriah Arab Bersatu (UAE), untuk membangunkan tujuh juta unit rumah bagi rakyat, seperti yang disahkan oleh Pasukan Petugas Perumahan.

    “Menurut Presiden Prabowo Subianto, kerajaan Qatar bersedia membiayai pembangunan lima juta rumah. Sementara itu, seorang dermawan Qatar juga telah menyatakan kesediaan untuk membiayai satu juta rumah secara peribadi,” Ketua Pasukan Petugas Perumahan, Hashim Djojohadikusumo menyatakan kelmarin, lapor agensi berita ANTARA.

    “Semasa lawatan saya ke Abu Dhabi (di UAE), kerajaan Abu Dhabi menyatakan kesediaannya untuk membantu (untuk pembangunan) satu juta unit rumah,” katanya.

    Dengan sokongan negara Timur Tengah kepada Indonesia, Djojohadikusumo yakin sasaran pembangunan kerajaan sebanyak 15 juta unit rumah dalam tempoh lima tahun penggal Presiden Prabowo akan tercapai.

    Ketua pasukan petugas itu turut memuji usaha kerajaan pusat dan pihak berkuasa tempatan menyediakan perumahan yang sesuai untuk rakyat.

    Djojohadikusumo membuat kenyataan itu semasa acara amal Krismas bersama Menteri Perumahan dan Penempatan, Maruarar Sirait di kompleks kediaman awam Rawa Buaya di Jakarta Barat. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda