Friday, October 11, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qatar Airways bida 25 peratus saham dalam Virgin Australia

    SYDNEY, 1 OKT – Qatar Airways mengumumkan bidaan untuk mengambil pegangan 25 peratus dalam syarikat penerbangan yang bermasalah, Virgin Australia, hari ini, satu perjanjian yang berpotensi mengubah pasaran Australia yang didominasi oleh Qantas.

    Syarikat penerbangan itu, bersama pemilik Virgin, Bain Capital, mengumumkan butiran perjanjian yang telah lama dijangka sebelum pasaran dibuka di Sydney.

    Di bawah rancangan tersebut, Qatar akan mengambil saham minoriti dalam Virgin untuk jumlah yang tidak didedahkan.

    Syarikat-syarikat itu berkata ia akan menandakan lebih banyak penerbangan terus dari Brisbane, Melbourne, Perth dan Sydney ke Doha, yang akan menghubungkan Australia dengan Eropah dan tempat lain dengan lebih baik.

    Ia boleh mengimbangi semula pasaran penerbangan Australia dengan ketara, yang kini didominasi oleh Qantas, syarikat penerbangan negara yang dibelenggu dakwaan mengenakan harga terlalu tinggi dan tempahan berlebihan secara sengaja.

    “Ini akan memastikan pengguna Australia mempunyai akses kepada tambang penerbangan yang lebih baik dan pilihan yang lebih banyak,” kata syarikat-syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.

    Perjanjian tersebut juga boleh membuka jalan kepada Virgin untuk disenaraikan semula di pasaran saham. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan dan perdebatan politik yang sengit.

    Virgin Australia memulakan prosiding kebankrapan semasa kewangannya berdepan masalah pada tahun 2020, dengan memberhentikan ratusan kakitangan ketika wabak COVID-19 menjejas perjalanan antarabangsa. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda