DOHA, 30 JAN – Syarikat telekomunikasi Qatar, Ooredoo, akan membina kabel dasar laut strategik yang menghubungkan negara-negara Teluk Arab, sekali gus meningkatkan pemindahan data antara Eropah dan Asia, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ooredoo kepada AFP menjelang pengumuman rasmi hari ini.
Projek Fibre in the Gulf (FIG) oleh Ooredoo, dengan kerjasama syarikat Perancis, Alcatel Submarine Networks (ASN), akan menghubungkan tujuh negara Teluk iaitu Qatar, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Arab Saudi, Kuwait, dan Iraq.
Infrastruktur itu dijangka membolehkan Ooredoo memenuhi peningkatan permintaan di Eropah dan bahagian lain di Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif Ooredoo Group, Aziz Aluthman Fakhroo, menyifatkan kabel tersebut sebagai ‘strategik’ kerana ia akan menjadi kabel dengan kependaman (latency) paling rendah dan kapasiti tertinggi di rantau ini.
Kabel sepanjang hampir 2,000 kilometer itu akan menghubungkan tujuh negara Teluk Arab, dengan projek berkenaan dijangka siap menjelang akhir tahun 2027.
Fakhroo turut menjelaskan bahawa kabel di Teluk itu akan menjadi ‘tulang belakang’ kepada koridor sambungan ke India dan Singapura, selain membuka peluang kepada pembinaan kabel darat dari Iraq terus ke Turkiye dan seterusnya ke Eropah, tanpa perlu melalui Laut Merah dan Terusan Suez.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kos projek itu tetapi menyatakan bahawa Ooredoo berhasrat untuk melabur hampir AS$500 juta dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sama ada bagi pembinaan kabel darat atau dasar laut. – AFP