DOHA, 5 MEI – Pekerja buruh asing bekerja sepanjang malam menjelang Piala Dunia yang akan mula mengira detik pelancaran 200 hari bermula hari ini, dengan tuan rumah Qatar berdepan persoalan yang semakin meningkat mengenai kos dan syarat-syarat untuk peminat.
Lapan stadium bergemerlapan dan berhawa dingin bersedia untuk kejohanan pada 21 November nanti.
Akan tetapi, setiap malam kumpulan pekerja Asia Selatan yang menyokong ekonomi Qatar yang kaya minyak itu bertungkus-lumus membina jalan yang belum siap dan tapak bangunan di sekitar Doha.
Berpuluh-puluh kren gergasi mencuar tinggi melampaui bangunan pencakar langit di ibu negara itu. Dalam pada masa yang sama, penganjur bergelut dengan dilema mengalu-alukan kedatangan kira-kira 1.4 juta peminat yang mahukan hiburan dan alkohol di negara kecil Islam konservatif itu.
Presiden FIFA Gianni Infantino telah menjanjikan Piala Dunia ‘terbaik pernah ada’ dan jurucakap FIFA memberitahu AFP bahawa badan global itu berasa kagum dengan program infrastruktur Qatar.
Ramai peminat bimbang tentang kos perjalanan dan penginapan untuk Piala Dunia Qatar, yang pertama di negara Arab.
Qatar telah menghadapi soalan yang kerap mengenai hak asasi manusia, termasuk untuk puluhan ribu pekerja asing yang membina infrastruktur di sekitar Piala Dunia. Qatar berkata ia telah membanteras amalan kesat dan memperkenalkan pembaharuan, termasuk gaji minimum.
Tetapi ketua Penyokong Bola Sepak Eropah, Ronan Evain, sebuah kumpulan pelobi, berkata isu pengangkutan dan tempat tinggal merupakan kebimbangan utama peminat menjelang pertandingan itu nanti. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P22-3a_06052022.jpg)