ABU DHABI, 30 Jan – Qatar membelasah pasukan tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE), 4-0 pada perlawanan separuh akhir yang terjejas berikutan tingkah laku penyokong sekali gus mengesahkan kemaraan mereka ke final Piala Asia buat kali pertama.
Qatar akan bertembung dengan Jepun bagi aksi final pada Jumaat ini selepas gol menerusi Boualem Khoukhi, Almoez Ali, Hasan Al-Haydos dan Hamid Ismaeil memastikan kemenangan buat tuan rumah Piala Dunia 2022 itu di Abu Dhabi.
Tatkala pasukan itu meraikan kemenangan dan mengekalkan rekod bersih enam kemenangan pada Piala Asia, para penyokong tuan rumah yang berang telah membaling objek seperti botol plastik sebagai tanda ketidakpuasan hati, dengan pemain tengah Qatar, Salem Al-Hajri terkena pada bahagian kepalanya selepas meledakkan gol ketiga buat negara Teluk itu.
“Ia bukanlah situasi yang mudah. Para pemain berwaspada terhadap tekanan yang dihadapi namun berjaya mengatasinya. Saya sangat berbangga dengan mereka.”
Qatar meledakkan gol pembukaan selepas minit ke-21 apabila rembatan Khoukhi gagal diselamatkan oleh penjaga gawang UAE, Khalid Eisa yang mengejutkan kira-kira 38,000 orang penyokong.
Seorang lagi pemain Qatar, Akram Afif turut menjadi sasaran penyokong UAE ketika cuba membuat sepakan di bahagian sudut.
Qatar dengan segera menambahkan gol kedua lapan minit sebelum rehat menerusi sepakan Ali dan Al-Haydos menjadikan kedudukan 3-0 selepas memecahkan pertahanan Eisa pada minit ke-80.
Tatkala penyerang kelahiran Sudan itu meraikan jaringannya, lebih banyak botol dan kasut dibaling ke tengah padang – di mana insiden itu yang melambangkan penghinaan dalam budaya Arab, dilemparkan kepada para pemain. – AFP
