MADRID, 19 MEI – Qatar berkata semalam ia merancang melabur AS$5 bilion tambahan di Sepanyol semasa lawatan pada hari kedua oleh pemimpin Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.
“Pelaburan yang dipersetujui dengan pihak Sepanyol adalah berjumlah AS$5 bilion dalam pelbagai sektor,” kata Menteri Luar Qatar Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pihak tidak memberikan jadual masa untuk pelaburan itu, yang bersamaan dengan 4.75 bilion euro, atau sektor mana yang terbabit.
“Qatar akan melabur hampir lima bilion dolar di negara kami pada tahun-tahun akan datang,” kata Perdana Menteri Pedro Sanchez semasa bertemu dengan delegasi Qatar.
“Pelaburan menunjukkan keyakinan negara Qatar dalam ekonomi Sepanyol yang akan memperkukuh lagi hubungan dua hala,” kata beliau sebelum rundi-ngan dengan amir Qatar.
Sebelum pandemik, pelaburan Qatar di Sepanyol mencecah AS$2.8 bilion, menurut kerajaan Sepanyol, menjadikannya pelabur ke-24 terbesar di negara itu. Sehingga sekarang, Qatar telah melabur dalam beberapa sektor termasuk penerbangan awam, pembinaan, tenaga dan perhubungan.
Menurut sumber kerajaan Sepanyol, kedua-dua pihak akan memeterai kira-kira 12 kontrak komersial, terutamanya yang membabitkan tenaga tatkala Madrid merancang mempelbagaikan bekalan gasnya susulan serangan Rusia ke atas Ukraine. Qatar, salah satu daripada tiga pengeksport gas asli cair terbesar dunia, buat masa sekarang adalah pembekal kelima terbesar Sepanyol selepas Amerika Syarikat, Algeria, Nigeria dan Mesir. – AFP
