Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qatar labur AS$70 bilion di Afrika Selatan

    JOHANNESBURG, 31 OGOS – Syarikat pelaburan Qatar, Al Mansour Holding telah berikrar untuk melabur sebanyak AS$70 bilion di empat negara Afrika Selatan semasa lawatan 10 hari, satu langkah yang dianggap penganalisis sebagai strategik ketika pembiayaan dari Amerika Syarikat (AS) semakin berkurangan di benua itu.

    Ketua kumpulan berkenaan yang juga ahli kerabat diraja, Sheikh Mansour bin Jabor bin Jassim Al Thani, telah bertemu pemimpin Botswana, Mozambique, Zambia dan Zimbabwe untuk menandatangani perjanjian pembiayaan besar bagi projek-projek yang merangkumi tenaga, pertanian, pelancongan dan perlombongan.

    Di Maputo minggu ini, beliau turut menandatangani perjanjian kerjasama bernilai AS$20 bilion dengan Presiden Daniel Chapo dengan tujuan untuk menyokong inisiatif kerajaan termasuk dalam bidang kesihatan dan pendidikan, menurut kenyataan presiden Mozambique.

    Beberapa hari sebelumnya, di sempadan Zimbabwe, syarikatnya telah bersetuju untuk membelanjakan sebanyak AS$19 bilion, termasuk AS$500 juta bagi projek hidroelektrik, menurut kerajaan negara itu.

    Sheikh Mansour juga berjanji untuk menyalurkan sebanyak AS$19 bilion kepada Zambia, dilaporkan antara perjanjian dua hala terbesar dalam sejarah negara itu dan AS$12 bilion kepada Botswana, menurut pengumuman rasmi negara-negara berkenaan.

    Presiden Botswana, Duma Boko berkata perjanjian itu yang nilainya lebih separuh daripada keluaran dalam negara kasar negara yang kaya berlian itu telah dirunding secara ‘rahsia’ selama beberapa bulan, sambil menegaskan, “Ini hanyalah permulaan.”

    Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mengambil langkah yang sama dengan Angola, menandatangani 44 perjanjian bernilai AS$6.5 bilion semasa lawatan Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed pada 25 Ogos yang lalu.

    Namun, butiran perjanjian seperti jadual pelaksanaan dan apa yang mungkin diperoleh sebagai balasan belum diumumkan dan jumlah yang begitu besar menimbulkan beberapa persoalan. – AFP

    Sheikh Mansour dan Daniel Chapo berjabat tangan semasa membuat perjumpaan di Maputo pada 26 Ogos. – semafor.com
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda