Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qatar layak ke pusingan 16 terbaik

    DOHA, 18 JAN – Juara bertahan Qatar muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selepas menundukkan Tajikistan 1-0 pada perlawanan kedua Kumpulan A saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Bayt di Bandar Al Khor, semalam.

    Kejayaan itu membolehkan skuad The Maroons bimbingan Marquez Lopez meraih kemenangan kedua berturut-turut untuk mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul enam mata menjelang perlawanan terakhir bertemu China, minggu depan.

    Penyerang kelab Al Sadd, Akram Afif, sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kemenangan pada separuh masa pertama perlawanan sekali gus menyaksikan dia kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan mengumpul tiga gol.

    Jaringan kemenangan itu terhasil pada minit ke-17 menerusi serangan balas pantas apabila Afif yang menerima hantaran Almoez Ali tidak teragak-agak melepaskan rembatan dari jarak dekat yang menewaskan penjaga gol, Rustam Yatimov.

    Gol pembukaan itu ternyata membakar semangat Qatar yang kemudian memperoleh beberapa peluang antaranya menerusi tandukan Jassem Gaber pada minit ke-39 dan rembatan Afif pada minit ke-43, yang memaksa Yatimov bekerja keras untuk mempertahankan kedudukan menjelang waktu rehat.

    Harapan Tajikistan yang dibimbing Petar Segrt untuk bangkit musnah pada minit ke-81 apabila pemain tengah Amadoni Kamolov dilayangkan kad merah selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia menendang Ahmed Al Ganehi. – Bernama

    Afif menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan bola sepak Kumpulan A Piala Asia AFC Qatar 2023 di Stadium Al-Bayt di Al Khor, utara Doha pada 17 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda