Wednesday, April 16, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qatar sedia melabur dalam dana kekayaan negara baharu Indonesia

    Bangunan pencakar langit di daerah perniagaan Jakarta pada 14 April. – AFP

    JAKARTA, 14 APRIL – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengumumkan bahawa Qatar bersedia untuk melabur sebanyak AS$2 bilion dalam dana kekayaan negara baharu Indonesia, sebagai usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara itu.

    Prabowo kini dalam rangka lawatan lima negara di Timur Tengah, meliputi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, Mesir, Qatar dan Jordan, bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dengan negara-negara di rantau berkenaan.

    Dalam satu kenyataan pada Ahad, beliau memaklumkan telah mengadakan pertemuan yang ‘produktif’ bersama Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, dan mengesahkan komitmen Qatar untuk melabur dalam dana Danantara Indonesia.

    Dana Danantara Indonesia dilancarkan pada Februari lalu oleh Presiden Prabowo Subianto, yang bertekad meningkatkan pertumbuhan tahunan negara daripada lima kepada lapan peratus, di samping melaksanakan pemotongan besar-besaran dalam perbelanjaan kerajaan.

    Dana tersebut akan mengambil alih pegangan kerajaan dalam syarikat-syarikat milik negara dengan bajet permulaan sebanyak AS$20 bilion.

    Ini merupakan dana kekayaan negara kedua bagi Indonesia, selepas Indonesia Investment Authority yang ditubuhkan pada 2021 dengan nilai aset sebanyak AS$10.5 bilion.

    Bulan lalu, Danantara mengumumkan barisan penuh lembaga pengarahnya, termasuk jutawan Amerika Syarikat, Ray Dalio, dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang dilantik sebagai penasihat.

    Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia, memaklumkan pada Mac lalu bahawa Jakarta telah merancang lebih 20 projek tenaga bernilai sekitar AS$40 bilion tahun ini, yang sebahagiannya akan dibiayai melalui dana Danantara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda