Wednesday, October 30, 2024
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Qi ambil masa ubat hati

    Pelakon dan pengacara, Qi Razali, mengakui, dia mengambil masa yang lama untuk mengubati hati setelah melalui beberapa fasa kegagalan dalam hubungan cinta sebelum ini.

    Kata Qi atau nama sebenarnya, Qushairi Mohammed Razali Wong, tidak ramai yang tahu mengenai hal tersebut dan disebabkan itu, dia tidak terkejut apabila segelintir pihak pernah menganggap dirinya lelaki kasanova.

    “Bukan tidak mahu ada pasangan hidup, tetapi saya jenis susah untuk mulakan perhubungan baharu atau keluar dengan mana-mana wanita jika belum benar-benar okey.

    “Saya memang ambil masa sikit untuk merawat hati. Macam tidak adil untuk wanita itu. Ini pun selepas dua tahun single, baru saya bersedia untuk kenal orang baharu.

    “Tetapi, jangan salah faham. Tidak bermakna sekarang saya sudah jumpa mana-mana wanita,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert OAG 30 Tahun Generasiku!, baru-baru ini.

    Qi mengakui, dia tidak terkejut apabila segelintir pihak pernah menganggapnya dirinya lelaki kasanova. – Agensi

    Berkongsi mengenai sasaran untuk menamatkan zaman bujang, pelakon filem Blogger Boy dan Suamiku Jatuh Dari Langit itu berkata, pada usianya kini, sudah tiba masa untuk dia mempunyai pasangan hidup.

    “Saya bagaimanapun, tidak mahu memaksa keadaan. Memang di mulut, saya cakap waktunya sudah dekat. Tetapi, itu tidak bermaksud saya mahu berkahwin sekarang. Saya sedar bila tengok orang sekeliling, semua sudah ada keluarga sendiri.

    “Saya tengok Radhi pun begitu. Masa dia berjuang dengan jatuh bangun hidupnya, anak adalah sumber semangatnya. Bohonglah kalau saya tidak mahu ke fasa seterusnya.

    “Mungkin jika saya bernikah, saya tidak dapat luangkan lebih banyak masa dengan ibu.

    “Macam sekarang, hari-hari ibu ajak ziarah kubur arwah ayah dan saya akan bawa. Saya memang sentiasa dengan ibu,” katanya.

    Dalam pada itu, Qi mengakui, seandainya bertemu dengan seseorang yang menepati cita rasa dan sesuai dijadikan calon isteri, dia enggan lagi berlama-lama dalam proses berkenalan.

    “Kalau semua okey, jalan terus. Orang kata, jangan lama-lama. Cuma, ketika ini saya belum mempunyai teman wanita istimewa. Saya tidak menutup pintu hati, tetapi tidak juga mencari,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda