Oleh Syazwani Haji Rosli
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Kapal latihan Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China, Qi Jiguang (Hull 83), tiba di Pelabuhan Komersial Muara hari ini bagi lawatan muhibah selama empat hari ini.
Mengalu-alukan ketibaan kapal bersama 517 kelasi dan kadet di dalamnya ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong dan suami, serta Pemerintah Armada Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapten Norshahrinizam bin Haji Talib.
Mengetuai delegasi Tentera Laut China adalah Laksamana Muda Yu Wenbing, komisar politik Akademi Tentera Laut Dalian PLA dan berkhidmat sebagai pegawai pemerintah misi tersebut yang termasuk kadet-kadet yang berkhidmat bagi Akademi Tentera Laut Dalian PLA, Universiti Kejuruteraan Tentera Laut PLA, Akademi Kapal Selam Tentera Laut, Universiti Penerbangan Tentera Laut, Universiti Perubatan Tentera Laut, Akademi Perkhidmatan Tentera Laut dan Sekolah Tentera Laut bagi para pegawai tidak bertauliah dari Tentera Laut PLA.
Program lawatan mereka di Brunei termasuk kerja-kerja dan aktiviti sukarelawan seperti membersihkan Pantai Muara.
Qi Jiguang akan mengadakan lawatan ke beberapa buah negara Asia Pasifik termasuk Timor Leste, Papua New Guinea, New Zealand dan Fiji. Ia adalah misi latihan kedua yang berterusan sejak ia digunakan.


Semasa perjalanan dua bulannya, Qi Jiguang akan berlayar ke Laut Kuning, Laut China Timur, Laut China Selatan, Laut Jawa, Laut Timor dan Laut Arafura.
Ia juga akan berlayar ke selat-selat dan laluan air penting termasuk Selat Karimata, Selat Torres, Selat Cook dan Selat Osumi.
Qi Jiguang (Hull 83) merupakan kapal latihan tentera laut bergabung dengan detasmen kapal latihan Akademi Tentera Laut Dalian PLA.
Sejak ia berkhidmat, ia telah menyertai banyak aktiviti tentera laut pelbagai negara seperti majlis ulang tahun ke-70 pengasasan Tentera Laut PLA China, perarakan tentera laut di Laut China Selatan, lawatan ke empat negara di Eropah dan Asia serta kegiatan-kegiatan maritim bagi Kem Latihan Ketenteraan Pelajar Kebangsaan ke-4.
Bagi meraikan ketibaannya, orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan lebih dekat kapal tersebut yang dibukakan bermula jam 9 hingga 11 pagi dan 3 petang hingga 5 petang pada 29 September dan akan meneruskan pelayarannya pada pagi 30 September.