Pelakon Qi Razali mendedahkan dia kini sudah bergelar tunangan orang dan bakal mendirikan rumah tangga tahun depan.
Enggan mendedahkan identiti wanita tersebut, Qi atau Qushairi Mohammed Razali Wong, 47, berkata dia mula mengenali wanita berusia 28 tahun itu sejak setahun lalu.
“Sebenarnya saya dah merisik dan bertunang pada Hari Raya Aidilfitri lalu. Sekarang dalam fasa beli barang majlis kahwin. InsyaAllah tahun depan.
“Dia orang industri tapi bukan di depan kamera. Nanti dah tiba masa saya akan beritahu,” katanya kepada mStar.
Qi ditemui dalam majlis pelancaran filem terbaharu lakonannya berjudul Babah yang berlangsung di Petaling Jaya kelmarin.
Tambah pelakon itu lagi, dia merasakan ini adalah waktu terbaik untuk membina keluarga sekali gus melengkapkan fasa hidup.
“Mana mungkin seseorang itu hidup sendiri selama-lamanya. Fasa menjadi suami dan bapa sahaja yang melengkapi kitaran hidup saya sekarang ini.
“Saya berjumpa dengan wanita yang membuatkan saya gembira tanpa paksaan,” ujarnya.
Meskipun pernah beberapa kali gagal dalam hubungan cinta, Qi berkata dia tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk berputus asa mencari teman hidup.
Qi bagaimanapun perlu memastikan diri betul-betul bersedia sebelum kembali serius menerima seseorang. – Agensi