Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Bagi meraih ganjaran pahala berlipat ganda pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah awal pagi tadi telah menganjurkan Qiamullail Ramadan bertempat di masjid berkenaan.
Turut menghadiri Qiamullail Ramadan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Qiamullail Ramadan diisi dengan sembahyang Sunat Tasbih secara berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz. Ini dikuti dengan bacaan wirid serta Doa Sembahyang Sunat Tasbih.
Kemudian bacaan Doa Munajat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Haji Haris bin Haji Suboh.
Juga hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh bersama isteri masing-masing.
Qiamullail Ramadan mengalu-alukan orang ramai untuk hadir bersama-sama ke masjid bagi meningkatkan amal ibadah di sepertiga akhir malam bulan Ramadan, khususnya sembahyang Sunat Tahajud, Taubat, Hajat dan Tasbih.



