BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan Qiamullail, sembahyang Fardu Subuh berjemaah dan juga Riadah Bandarku Ceria selama dua hari berturut-turut, hingga kelmarin.
Pada 4 Februari lalu, acara Qiamullail telah diadakan di Surau Sementara UNISSA yang merangkumi zikir dan selawat bagi mahasiswa, sementara itu, pada sesi lain, Perkongsian Ilmu bagi mahasiswi telah diadakan di auditorium UNISSA.
Dalam perkongsian berkenaan, tazkirah bertajuk ‘Learning from the Muslimah Warriors’ telah disampaikan oleh Mahasiswi Tahun 3, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Dayang Siti Julaiha binti Puasa.
Menurut kenyataan UNISSA, aktiviti berkenaan adalah untuk mengetahui kisah dan sejarah sahabat-sahabat yang terdahulu untuk dijadikan contoh teladan yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan para mahasiswi.
Manakala itu, semalam, mahasiswa dan mahasiswi UNISSA melaksanakan solat Fardu Subuh berjemaah di Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong sebagai salah satu acara program untuk sama-sama memakmurkan masjid dan untuk menimbulkan rasa kecintaan terhadap masjid.
Acara diteruskan dengan senamrobik yang diketuai oleh Awang Muhamad Ikhwan Syahmi bin Suhaini, Exco Unit Sukan dan Logistik, MPP sebelum meneruskan aktiviti berbasikal dan berjalan kaki menuju ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dalam rangka memeriahkan suasana aktiviti riadah Bandarku Ceria di samping untuk menggalakkan warga UNISSA mengamalkan cara hidup sihat agar lebih aktif dari segi mental dan fizikal.
Turut hadir dalam aktiviti berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, timbalan rektor, penolong rektor, dekan hal ehwal pelajar dan beberapa orang pegawai dan kakitangan UNISSA.
Bandarku Ceria lebih meriah apabila para mahasiswa dan mahasiswi UNISSA turut melibatkan para pengunjung dengan mengadakan Klinik Surah Al-Fatihah.
Klinik tersebut adalah untuk membantu orang ramai memperbaiki dan menghalusi lagi bacaan Surah Al-Fatihah agar setiap ayat dapat dibaca dengan betul dan menepati makna sebenar.
Pada masa yang sama, Photohunt Race turut diadakan di antara mahasiswa agar dapat mengeratkan persaudaraan antara warga UNISSA.