Qistina Raisah yang memulakan kerjaya lakonan sejak berusia empat tahun, memaklumkan sudah lama menyimpan hasrat untuk menggenggam trofi sesebuah anugerah.
Memetik daripada mStar, pelakon Malaysia, Qistina atau Nur Qistina Mohd Kamarol Azri, 15, berkata dia percaya rezeki masih belum memihak padanya memandangkan ramai lagi pelakon hebat lain turut menerima nasib sama sepertinya.
“Saya sangat teringin (anugerah) tapi ia bergantung pada rezeki… ramai artis-artis hebat lain pun tak menang anugerah lagi.
“Bagi saya anugerah itu ibarat itu sahaja… macam tiada apa-apa, tapi kalau dapat Alhamdulillah, tak dapat pun tak apa sebab ia berbalik kepada rezeki,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Qistina juga berharap rakan artis yang sudah menerima anugerah tidak memandang rendah kepada mereka yang belum berjaya mencapai kejayaan itu.
Katanya setiap pelakon masih lagi perlu belajar meskipun mereka telah menerima anugerah.
“Tapi jangan hina orang tiada anugerah. Semua orang ada perasaankan? Siapa dah menang itu rezeki dia.
“Tak kisahlah dah menang anugerah atau belum, tapi setiap kali berlakon kita masih kena belajar lagi.
“Orang yang tidak berada dalam industri ini mungkin kurang faham mengenai perkara ini,” ujarnya. – Agensi