Akur rezeki belum menyebelahinya sejak empat tahun bertatih membina nama, naib juara Mentor Milenia 2016, Qody Rany enggan mengalah.
Terbaru, Qody atau nama sebenar, Rossaidi Abdul Rani mencuba nasib menyertai program realiti, Big Stage 2020 dengan harapan nasibnya lebih baik.
Suami kepada Nurul Atiqah Mohd Fuad ini mencabar diri demi meneruskan survival seni yang dikatakan statik selepas graf karier dilihat mendatar.
“Jika diikutkan, saya ada lagu hit iaitu Dia ciptaan Ippo Hafiz. Single itu menjadi runut bunyi drama Kekasih Paksa Rela. Hanya lagu itu yang membuatkan peminat kenal saya.
“Namun, saya sebenarnya sudah muncul dengan beberapa lagu lain termasuk single duet bersama Marsha untuk filem Tujuh berjudul Ku Bersumpah.

“Malah, saya ada lagu baharu iaitu Satu Malam yang dijadikan runut bunyi drama Pengantin Satu Malam yang disiarkan slot Akasia TV3,” katanya kepada media.
Lagu Satu Malam adalah karya pertama dicipta Qody bersama Shazee dan Audi Mok.
Mengenai penyertaannya dalam Big Stage 2020, Qody berharap program itu menjadi platform mengukuhkan namanya.
“Hendak masuk pertandingan bukan mudah. Ramai artis muda yang datang sesi uji bakat,” katanya.
Qody yang sudah menamatkan kontrak dengan syarikat pengurusan 8Unit sejak Mac lalu, kini diuruskan Najah Music.
“Saya bersama pengurusan baharu ini untuk tempoh dua tahun,” katanya yang belum dikurniakan cahaya mata.
Dalam perkembangan lain, Qody berkongsi insiden akaun Instagram (IG) miliknya di bawah nama @qody_official digodam dua kali, sejak Ramadan lalu.
“Ramadan lalu, akaun IG saya digodam. Namun, saya berjaya mendapatkannya semula. Tetapi, hendak dijadikan cerita, dua minggu sebelum menyertai Big Stage, akaun terbabit digodam lagi.” – Agensi