Tuesday, July 2, 2024
22 C
Brunei

    -

    Quad tawar biasiswa kepada pelajar ASEAN

    JAKARTA, 26 JUN – Quad, yang terdiri daripada Amerika Syarikat (AS), India, Jepun dan Australia menawarkan biasiswa kepada para pelajar dari negara-negara terbabit dan ASEAN untuk mempelajari sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di AS.

    “Program ini menaja pelajar sarjana dan kedoktoran yang cemerlang bagi mendalami sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di Amerika Syarikat,” kata Naib Presiden Eksekutif, pembangunan program dan perkhidmatan rakan kongsi, Institut Pendidikan Antarabangsa (IIE), Jonah Kokodyniak semasa temu bual secara maya kelmarin, lapor ANTARA.

    Biasiswa ini ditawarkan dengan kerjasama IIE, sebuah organisasi global yang menguruskan program biasiswa paling berprestij di dunia bagi membangunkan rangkaian pakar sains dan teknologi yang komited kepada kebaikan sejagat.

    “Program ini membina pemahaman asas antara para felo Quad tentang satu sama lain, masyarakat dan budaya melalui program dan rangkaian dengan para saintis, ahli teknologi dan ahli politik terkemuka setiap negara,” katanya.

    Mereka juga mengenal pasti calon yang komited untuk bekerjasama dalam bidang seperti perubahan iklim, kesihatan awam dan penggunaan kecerdasan buatan untuk kebaikan bersama.

    Dalam kohort pertama biasiswa ini, mereka memilih pelajar dari empat negara Quad iaitu Australia, India, Jepun dan Amerika Syarikat.

    Sementara itu, mereka juga telah mengembangkan program ini ke 10 negara ASEAN, bukan sahaja untuk memperluaskan skop geografi program, tetapi memberikan manfaat bagi rantau Indo-Pasifik.

    “Kami menerima jumlah permohonan yang tinggi dari hampir setiap negara ASEAN semasa kitaran kempen ini, menunjukkan permintaan yang signifikan di rantau ini dan negara-negara ASEAN terhadap pendidikan tinggi AS dan kerjasama saintifik,” kata Kokodyniak.

    “Kami sedang dalam proses pemilihan. Jadi dalam masa sebulan, kami akan mengumumkan para felo,” katanya. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea S wujudkan kementerian populasi, tangani penuaan, kadar kelahiran rendah

    SEOUL, 1 JULAI – Korea Selatan akan mewujudkan kementerian baharu bagi menangani kadar kelahiran rendah dan isu penuaan penduduk yang menjadi antara cabaran terbesar...